WALAUPUN usianya sudah menjangkau 45 tahun, penerbit dan pelakon, Datuk Hans Isaac mengakui dirinya tidak pernah menyesal berkahwin lambat.
BACA: Hans Isaac Akui Sedang Dilamun Cinta
Ini kerana dia beranggapan sekiranya dia berkahwin awal, perkahwinannya mungkin tidak bahagia dan berakhir dengan penceraiaan.
Hans membuat pengakuan itu dalam sesi rakaman program Sembang Teh Tarik Kaw yang diacarakan Datuk AC Mizal di Pinewood Studios Iskandar Malaysia, Johor, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Hans yang kini sedang dilamun cinta dengan seorang wanita yang dirahsiakan identitinya mengakui sudah bersedia untuk bergelar suami.
“Saya akui memang ada seseorang dalam hidup ini. Namun saya belum bersedia mengumumkan siapakah orangnya. Adakah dia artis atau orang biasa tunggulah masa yang sesuai.
“Memang sekarang saya sudah bersedia mendirikan rumah tangga. Andai tiba masa kami hendak berkahwin, saya dan dia akan beritahu kepada semua.
“Dengan usia sekarang dan keyakinan yang tinggi untuk berkahwin, saya juga yakin menyatakan andai saya berkahwin sekarang, saya boleh menjadi lelaki yang penyayang serta suami terbaik,” katanya.
Sebelum ini, Hans pernah gagal dalam beberapa siri percintaan termasuk bersama aktres jelita Erra Fazira dan Neelofa.
Dalam perkembangan lain, Hans bakal tampil menerbitkan teater Lawak Ke Der yang bakal dipentaskan di Istana Budaya, Kuala Lumpur pada Mei depan.
BACA: Hans Isaac, Norman KRU, Ziela Jalil Kini Bergelar Datuk
Hans atau nama sebenarnya Gerald Hans Isaac baharu sahaja menerima pingat Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP) yang membawa gelaran Datuk pada 6 Februari lalu. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: Harian Metro