KUCHING – Ini bukan sembarangan ceramah biasa malah ia dianggap ceramah ‘grand’ DAP yang melibatkan Setiausaha Agungnya sendiri, Lim Guan Eng sanggup ‘turun padang’ berucap di hadapan penyokong tegarnya.
Namun lucunya, aura Ketua Menteri Pulau Pinang yang terpalit dengan skandal banglo ‘murah’ miliknya di George Town itu hanya mampu menarik kira-kira 200 peserta sahaja di Miri semalam, menurut laporan media tempatan.
Khabarnya walaupun ceramah sulung di kawasan Center Point untuk kerusi N.75 Senadin ini disifatkan sebagai ceramah bertaraf perdana bagi DAP, ia agak mengecewakan dari segi kehadiran masyarakat setempat sendiri.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 kali ini, kawasan itu ditandingi penyandangnya, calon Barisan Nasional (BN), Datuk Lee Kim Shin dari SUPP ditentang Dr. Bob Baru Langup (DAP) dan Philemon John Edan (PBDS).
Walhal kawasan tersebut di atas kertas dianggap berwarna hitam bagi BN apabila hanya menang majoriti kecil 58 undi pada PRN ke-10 berbanding rekod cemerlang Kim Shin sebanyak 4,799 undi pada PRN kesembilan lalu.
Calon DAP seorang doktor gigi diletakkan di situ setelah calon PKR, Steve Teo yang disebut-sebut bertanding tidak muncul. Pada PRN lalu, calon PKR, Michael Teo Yu Keng meraih 7,276 undi berbanding Kim Shin 7,334 undi.
Dalam ceramah itu, Guan Eng seperti biasa mendakwa konon jika BN tumbang di Sarawak maka berakhirlah era cukai barangan dan perkhidmatan serta mahu pengundi Miri menghukum Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satim.
Menurut Guan Eng, Adenan harus dipersalahkan kerana menyokong kezaliman yang dilakukan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang didakwa konon melakukan penipuan serta menyeleweng wang rakyat.
Untuk makluman, di Pulau Pinang sendiri Guan Eng kini dianggap oleh rakyat Pulau Mutiara itu sebagai kerap memutar belit isu skandal tanah Taman Manggis di George Town yang hangat diperkatakan akhbar-akhbar Cina.
Beliau kini sedang berhadapan dengan siasatan pihak berkuasa atas tuduhan berkenaan. Mungkinkah sambutan ‘hebat’ ceramah ini membuktikan rakyat Sarawak sudah bosan dengan ucapan retorik pemimpin ulung DAP itu? – Mynewshub.cc/HAA
#PRNSARAWAK