KUALA LUMPUR – Hanya Kuala Krai di Kelantan masih mencatatkan bacaan suhu melebihi 37 darjah celsius hari ini berikutan cuaca panas akibat fenomena El Nino.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Madius Tangau berkata sehingga jam 4 petang tadi, Stesen Meteorologi di Kuala Krai merekodkan bacaan suhu 37.6 darjah celsius.
Beliau berkata enam kawasan yang masih mencatatkan bilangan hari tanpa hujan melebihi 10 hari berturut-turut ialah Kota Baharu dan Machang, Kelantan yang masing-masing 23 hari, dan Kudat, Sabah selama 15 hari.
“Manakala, Pasir Mas, Kelantan; Besut, Terengganu; dan Mersing, Johor mencatatkan selama 10 hari tanpa hujan,” katanya.
Selain itu, Madius berkata bilangan titik panas yang dicerap di Sabah menurun kepada satu semalam berbanding tiga pada 24 April di bahagian pantai barat Sabah. – BERNAMA