PERHIMPUNAN anti Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Dataran Merdeka, di ibu negara bermula jam 1 petang bukan sahaja gagal, malah ‘memalukan’ pihak penganjurnya dengan bilangan peserta amat kecil.
Tinjauan Mynewshub pada pukul 1.45 petang mendapati keadaan masih lagi lengang walaupun hari Sabtu merupakan cuti hujung minggu di ibu kota yang sepatutnya menerima sambutan ‘hebat’ rakyat Malaysia sendiri.
Perhimpunan disertai 0.001 juta rakyat itu sepatutnya diadakan pada 1 April sempena genap setahun pelaksanaan GST, namun ditunda sehari kerana bimbang menjadi bahan jenaka April Fool oleh jutaan netizen prokerajaan.
Keadaan cuaca panas terik akibat El Nino berjaya ‘mengekang’ penyokong pembangkang daripada membanjiri kawasan perhimpunan bermula dari kompleks beli-belah Sogo di Jalan Dang Wangi hingga ke Dataran Merdeka.
Dianggarkan penyokong yang hadir perhimpunan itu kurang 2,000 malah ada kata kurang 1,000 orang. Ternyata bantahan ini tiada sambutan ribuan pengunjung yang kebetulan berada di sekitar Jalan Tuanku Abdul Rahman.
Peserta himpunan haram ini juga melaungkan “Reformasi”, “Undur Najib” dan “Mansuh GST” tetapi hanya disambut suara-suara lesu tidak bermaya dari kalangan penyokong mereka seolah-olah sangat kehausan air.
Suasana bantahan ini seolah-olah suatu karnival suka ria ala fun fair pasar malam menyaksikan peserta santai ‘lengang kangkung’ datang memakai baju-T warna hitam dan merah tertera slogan antikerajaan selain protes GST.
Bahkan bukan sahaja himpunan haram ini tidak mendapat sambutan hangat orang ramai, peniaga-peniaga gerai jualan barangan anti-GST berderetan sepanjang jalan turut terkena tempias sama serta menanggung rugi besar.
Ini kerana barang jualan mereka gagal mendapat sambutan pengunjung dan mereka terpaksa menurunkan harga waima bebas GST selain berharap perhimpunan bodoh itu diadakan lebih kerap untuk ‘bantu’ bisnes mereka pula.
Ia turut diburukkan lagi dengan pemulauan oleh PAS, yang disisih Pakatan Harapan dan masih ‘marah’ tindakan biadap peserta Baju Kuning – Bersih 4.0 tahun lalu memijak potret presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.
Perhimpunan kali ini juga tanpa kehadiran tokoh hebat DAP yang sekarang tengah ‘panas’ dengan skandal banglo ‘murah’ Lim Guan Eng dan tindakan kerajaan Pulau Pinang menggadai tanah flat kos rendah di Taman Manggis.
Tiada kelibat jentera trak meriam air atau ketumbukan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) mengawal keadaan di sebalik publisiti luas pihak penganjur yang bongkak konon mahu ‘menggegarkan’ ibu negara Malaysia.
Mungkin himpunan bodoh ini sesuai dimasukkan dalam Malaysia Book of Records sebagai paling sikit peserta. Alahai malang sungguh nasib penganjur kerana lain diharapkan tapi lain pula yang jadi. – MYNEWSHUB.CC