KEJADIAN ini berlaku di sebuah hospital haiwan yang terletak di Melbourne, Australia apabila seekor ikan emas yang menghidap tumor telah selamat menjalani pembedahan.
Ikan emas yang dikenali dengan nama Bubbles ini telah dibedah oleh Dr. Tristan Rich, seorang doktor pakar haiwan  dari Hospital Haiwan Lort Smith.
Bubbles yang berusia 9 tahun dikatakan tidak mampu untuk makan dan berenang dengan betul sekiranya tumor pada bahagian kepalanya itu tidak dibuang.
Menurut Dr. Tristan, sewaktu proses pembedahan berlaku, Bubbles diletakkan di dalam bakul yang mengandungi bahan Anestetik dan selepas dia tidak sedarkan diri, tiub oksigen dimasukkan ke mulutnya.
Bubbles juga diberikan suntikan bius bagi mengelakkan ia daripada rasa sakit.
Lapor portal Tech Times, ikan emas mampu hidup selama 30 tahun. Pemilik Bubbles menjumpai Dr. Tristan selepas berita kejayaannya menyelamatkan seekor ikan emas bernama Goerge pada tahun 2014 tersebar.
Semenjak itu Dr. Tristan menjadi popular dan menjadi selebriti di Lort Smith dan bilangan ‘pesakit’ ikan emas juga meningkat sejak itu.
Hospital itu turut merupakan sebuah hospital yang tidak mementingkan keuntungan tetapi bergantung kepada derma yang dihulurkan. – MYNEWSHUB.CC