ALOR SETAR – Jabatan Imigresen Kedah menahan 14 wanita warga asing dalam ‘Ops Ikrar’ yang dijalankan di sebuah pusat hiburan di Padang Serai, Kulim hari ini.
Ketua Bahagian Penguatkuasa jabatan itu Mohd Shahrir Khalil berkata dalam operasi bermula 12.35 tengah malam tadi, pihaknya menahan enam wanita warga Thailand, empat warga Laos dan empat warga China berumur antara 18 hingga 36 tahun dan memeriksa 30 pelanggan premis berkenaan.
“Wanita warga asing itu ditahan mengikut Peraturan 39(b) Peraturan Peraturan Imigresen 1963 kerana melanggar dan menyalahgunakan pas lawatan dikeluarkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Seorang lelaki tempatan berumur 35 tahun, yang merupakan majikan di premis itu, turut ditahan kerana melindungi pendatang asing tanpa izin itu.
Mereka kini ditempatkan di lokap Imigresen, Bangunan Kementerian Dalam Negeri, Alor Setar untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Depot Tahanan Imigresen Belantik, Sik. – BERNAMA