SHAH ALAM – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor berjaya mengesan dan menyita 164 buah kereta klon pelbagai model dengan nilai anggaran lebih RM2.5 juta sejak Januari lepas.
Pengarahnya, Nazli Md Talib berkata antara model kereta yang disita ialah kereta mewah jenis Mini Cooper, Lexus, BMW, Mercedes Benz serta model buatan Jepun, Honda dan Toyota.
Daripada jumlah itu, sebanyak 11 kes didakwa di mahkamah atas pelbagai kesalahan, antaranya memiliki cukai jalan dan nombor plat palsu, katanya pada sidang media di sini Jumaat.
Beliau berkata individu yang gagal mendapat pinjaman bank akibat disenarai hitam merupakan antara pembeli kereta klon yang mampu membayar secara tunai memandangkan harga kereta pilihan mereka itu jauh lebih murah berbanding harga pasaran.
Katanya golongan pembeli kereta klon adalah berusia 30 tahun ke atas dan nama mereka disenarai hitam oleh pihak bank.
Memandangkan kesukaran mendapatkan pinjaman, maka mereka sanggup berdepan dengan risiko tindakan undang-undang apabila kereta klon ditawarkan dengan harga serendah RM4,000 untuk model Toyota Vios, katanya.
Selain itu, Nazli berkata keghairahan orang ramai yang mahu memiliki kereta mewah dengan harga murah turut menjadi penyebab sindiket kenderaan klon masih bergiat aktif di negara ini.
Katanya, kebanyakan pembeli sanggup menanggung risiko untuk membeli kereta mewah klon dari Singapura dan Thailand kerana beranggapan itu adalah peluang mereka untuk memiliki kenderaan tersebut.
“Pembeli dalam kalangan penjawat awam dan golongan kurang berkemampuan mengakui sanggup membelinya sebab nak bergaya dan teringin memiliki kereta mewah walaupun mengetahui memiliki kenderaan itu adalah salah,” katanya. – BERNAMA