SUNGAI PETANI – Program jualan terus dari ladang kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama), mampu menjimatkan perbelanjaan orang ramai berikutan harganya antara lima dan 20 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.
Exco Pertanian dan Asas Tani, Pembangunan Wanita, Pembangunan Usahawan dan Kebajikan Masyarakat Kedah, Datuk Suraya Yaacob berkata, selain harga yang jauh lebih murah kerana tidak melibatkan orang tengah, produk yang ditawarkan juga adalah segar.
“Ini adalah antara usaha kerajaan membantu mengurangkan kos sara hidup yang ditanggung rakyat…kita bawa pasar tani ke kawasan perumahan yang menawarkan barangan antara lima dan 20 peratus lebih murah, serta lebih segar.
“Pada masa sama, kita juga dapat membantu usahawan memasarkan produk mereka secara terus tanpa menggunakan orang tengah,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja di Pasar Tani Bandar Puteri Jaya, di sini, hari ini.
Suraya berkata kerajaan negeri bersama pihak berkuasa tempatan (PBT) telah menyediakan kira-kira 62,000 kedai kecil, gerai serta industri kecil dan sederhana (IKS), namun jumlah itu belum mencukupi untuk menampung permintaan pengguna.
“Tetapi dengan adanya pasar tani dan pasar malam, ia memungkinkan usahawan memasarkan secara terus barangan mereka kepada pengguna dan ini akan membantu meningkatkan ekonomi usahawan, sekali gus mengurangkan kos sara hidup rakyat sebagai pengguna.
“Setakat ini, terdapat 48 pasar tani beroperasi dalam seminggu, membabitkan 2,000 peserta. Ia mencatatkan jualan sebanyak RM84 juta tahun lalu dan bagi 2016, jualan disasarkan mencecah RM90 juta,” katanya.
Suraya berkata untuk tahun ini, empat pasar tani akan diwujudkan di Pendang, Merbok, Pokok Sena dan Kulim, manakala tiga lagi pasar tani kekal akan diadakan di Sungai Petani, Kulim dan Changlun, sebagai tambahan kepada dua yang ada di Guar Chempedak dan Kuala Kedah.
Sementara itu, Suraya turut menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli antara peserta Ladang Kontrak dan Fama, melibatkan tiga peserta masing-masing mengusahakan tanaman cili merah, tebu dan buah-buahan bermusim.
“Projek Ladang Kontrak mula diperkenalkan pada 2006, dan sehingga hari ini, bagi Kedah, terdapat seramai 1,392 petani menyertai ladang kontrak. Ia menjamin penjualan hasil dari ladang yang mana Fama bertindak sebagai pembeli.
“Jualan mereka terjamin, harga mengikut harga lantai namun pada masa sama, mereka juga tidak dihalang membuat jualan terus untuk mendapatkan harga yang lebih tinggi, maksudnya sebahagian dijual kepada Fama dan sebahagian lagi dijual sendiri,” katanya. – BERNAMA