SINGAPURA – Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) sedang mengetatkan usaha penguatkuasaan bagi membasmi jumlah tikus yang didapati semakin meningkat subur di seluruh Singapura berbanding tahun sebelumnya.
Perkara yang cukup memeranjatkan itu diakui sendiri oleh Menteri Negara Kanan Alam Sekitaran dan Sumber Air Singapura, Amy Khor, di Parlimen republik itu di sini pada 12 April, menurut laporan agensi berita MediaCorp.
Langkah-langkah kecemasan itu ujar beliau adalah sebahagian daripada usaha pihak pemerintah Singapura untuk mempertingkatkan lagi tahap kebersihan awam di negara ini yang mungkin belum mencapai standard terbaik.
Paling mengejutkan apabila sidang Parlimen diberitahu, sekitar 43,000 lubang tikus telah dikesan oleh NEA pada tahun 2015, iaitu kira-kira lebih seribu lubang tikus berbanding jumlah yang dikesan pada tahun sebelumnya.
Sepanjang tempoh dua tahun lalu, 85 peratus lubang tikus telah dikesan di estet-estet perumahan awam sekali gus memberi gambaran sikap buruk penduduk tempatan kurang prihatin dalam menjaga kebersihan persekitaran.
Oleh itu, NEA ujar Khor, akan mempertingkatkan aktiviti penguatkuasaannya bagi sebarang kegiatan pelanggaran khasnya pembuangan sampah domestik di kawasan-kawasan yang dikendalikan oleh majlis-majlis bandaran.
Bagi menggalakkan semua pihak supaya memberi kerjasama penuh untuk menyelaraskan rancangan masing-masing bagi mengawal tikus, NEA juga menubuhkan pasukan-pasukan petugas di empat lokasi panas tertentu.
Ia melibatkan Redhill Close, Bedok Central, Clementi Avenue 3 dan Bangkit Road. Selain itu, NEA menggalakkan masyarakat agar memainkan peranan lebih besar bagi bantu menjaga dan memastikan kebersihan di negara ini.
Satu rang undang-undang telah diluluskan Parlimen pada awal tahun ini untuk memperluaskan lagi Program Sukarelawan Masyarakat dan memberi orang awam kuasa bagi mengambil tindakan terhadap ‘kutu sampah’. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA