KEBIASAANNYA, makanan sihat sering kali dilihat sebagai kurang menyelerakan.
Namun, sebuah kafe di Jepun tampil membuat kelainan dengan menghasilkan kek diet yang kelihatan sungguh menyelerakan dan enak seperti kek-kek yang biasa.
Kek Vegiedeco Salad sebenarnya merupakan gabungan beberapa sayur yang dihasilkan menyerupai kek.
Antara sayur yang digunakan adalah lobak, timun dan daun salad yang diapit dengan kek span yang diperbuat daripada tepung kacang soya dan dihiasi tofu kisar menyerupai krim keju.
Kesemua variasi kek ‘sihat’ ini mula dijual di Kafe Vegiedeco yang terletak di Nagoya mulai 5 April lalu.
Ia dijual pada harga US$6.50 (RM25.00) bagi sepotong kek. Selain kek, kafe itu turut menawarkan pelbagai minuman dan makanan kesihatan yang enak untuk memenuhi permintaan pelanggan mereka. – MYNEWSHUB.CC