LOS ANGELES – Seekor kambing liar nampaknya memang teringin hendak ‘minum kopi’ – sehingga ia didapati merayau-rayau dan akhirnya berjaya memasuki sebuah kedai kafe Starbucks di utara California, Amerika Syarikat.
Menurut Sarjan Rick Bates dari polis Rohnert Park, pihak polis menerima beberapa panggilan pada pagi 10 April tentang seekor kambing bernama Milly yang merayau-rayau di pusat beli-belah terbuka di timur bandar itu.
Beliau berkata kakitangan di premis Starbucks berkenaan cuba memberikan Milly sebiji pisang, namun ia tidak mengendahkan mereka dan mula mengunyah-ngunyah sebuah kotak yang mengandungi simpanan biji kopi.
Bates kemudian membawa Milly ke sebuah tempat perlindungan haiwan tempatan yang berhampiran, selepas merakamkan beberapa gambar eksklusif aksi bersahaja kambing tersebut merayau-rayau di sekitar Starbucks.
Beliau kemudian memuat naik gambar berkenaan menerusi laman Facebook jabatan polis tersebut. Kata Bates, sejurus berita tentang gelagat Milly itu tersebar, haiwan itu sudahpun dituntut dan dibawa pulang ke pemiliknya.
Pemiliknya, Alan Ergenbright berkata kepada sebuah akhbar tempatan bahawa kambing peliharaan berusia 11 tahun itu memang tinggal berhampiran tetapi tidak menyangka ia boleh merayau sehingga ke Starbucks.
“Milly seekor kambing yang agak ceria. Ia juga mempunyai perasaan sikap ingin tahu yang cukup tinggi,” akui Ergenbright kepada wartawan Santa Rosa Press Democrat. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA