KANGAR – Kemarau yang sedang melanda akibat fenomena El Nino tidak menjejaskan pengeluaran makanan negara setakat ini, kata Ketua Pengarah Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Datuk Ahmad Ishak.
Beliau berkata petani di negara ini kini menggunakan teknlogi moden untuk mendapatkan sumber air bawah tanah bagi menyiram tanaman mereka.
“Kalau harga makanan khususnya yang berkaitan dengan pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan naik mendadak, bermakna bekalannya kurang.
“Bagaimanapun harga kebanyakan barang makanan kini agak stabil malah ada yang murah daripada sebelum kemarau,” katanya kepada pemberita selepas penutupan Seminar Pemasaran Berkesan Hasil-Hasil Pertanian peringkat negeri anjuran FAMA Perlis di sini hari ini.
Dalam pada itu, Ahmad berkata eksport sayur-sayuran Malaysia ke Singapura, Thailand, Indonesia, Emeriah Arab Bersatu dan Amerika Syarikat tahun lepas bernilai RM826 juta manakala import sebanyak RM3.175 bilion.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri Ahmad Bakri Ali dalam ucapannya semasa merasmikan penutupan seminar itu menasihati pengeluar makanan Perlis supaya mengutamakan kualiti dan kebersihan untuk membolehkan produk mereka menembusi pasaran luar negara.
Sebanyak 250 petani dan peniaga buah-buahan menghadiri seminar tersebut yang menekan mutu penggredan, pembungkusan dan pelabelan produk. – BERNAMA