“DEMI Allah, saya akan cari dalang ke lubang cacing,†itulah semangat yang dipamerkan oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) suatu ketika dahulu dalam kes skandal banglo Dr. Mohamad Khir Toyo.
Semua tahu kes itu menonjolkan SPRM ‘garang’ bukan main dahsyat lagi sehingga menyaksikan beberapa akhbar harian yang cenderung pembangkang memainkan isu tersebut begitu besar macam dunia hendak kiamat esok hari.
Itu cerita dahulu dan kes itu berjaya diselesaikan apabila bekas menteri besar Selangor itu didapati bersalah hasil kejayaan SPRM ‘mengubah’ status seorang saksi pembelaan menjadi saksi pendakwaan pula ketika perbicaraan.
Entah apa tawar-menawar yang berlaku di belakang tabir, ramai pemerhati termasuk pemimpin pembangkang sendiri dilaporkan terkejut dengan kecekapan SPRM memujuk saksi itu untuk ‘mengkhianati’ Dr. Mohamad Khir.
Tahniah SPRM namun sesuatu yang mungkin tidak disedari, Allah Maha Adil apabila kes seumpama itu berulang lagi dan kali ini lebih dahsyat kerana skandal hartanah itu melibatkan tokoh pembangkang dianggap cukup hebat.
Berselindung konon di sebalik slogan Cekap, Akauntabiliti, Telus atau CAT, kes Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng berjaya mengaburi ‘mata’ orang luar dengan membina imej persepsi positif yang palsu dan dibuat-buat.
Sebenarnya skandal banglo ‘murah’ dan tanah Taman Manggis di George Town jauh mudah diselesaikan kerana begitu banyak dokumen waima saksi boleh diketengahkan SPRM berbanding kes Dr. Mohamad Khir dahulu.
Malangnya ini tidak berlaku sehingga menyebabkan penduduk Pulau Mutiara yang sedia maklum dengan kes itu mulai menyampah terhadap SPRM dan dianggap terlalu ‘kura-kura’ siasat skandal hartanah strategik tersebut.
Secara jujur, isu banglo Guan Eng di Jalan Pinhorn dan tanah untuk projek flat kos murah Jalan Zainal Abidin itu ialah cerita lama sebelum dibongkar Ahli Parlimen Tasek Gelugor, Datuk Datuk Shabudin Yahaya pada 17 Mac.
Ironi, kompleks SPRM Pulau Pinang di No.44, Jalan Sultan Ahmad Shah, George Town begitu gah dibandingkan jirannya, Kedah dan Perlis sendiri yang masih lagi terpaksa tumpang ihsan pejabat kecil di Wisma Persekutuan.
Bahkan ada secara berjenaka kata, saiz bangunan SPRM Pulau Mutiara lebih besar berbanding kompleks SPRM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur yang diketahui mengendalikan jauh paling banyak kes di Malaysia sendiri.
Mungkin SPRM sudah kena sumpah jadi ‘cacing’ sebab suka bersumpah main-main dan hasilnya siasatan kes Guan Eng amat lembab mengalahkan siput babi menjelang genap sebulan skandal itu terdedah pada 17 April ini
Di mana semangat gagah SPRM itu pada waktu diperlukan seperti skandal berprofil tinggi membabitkan tokoh pembangkang hebat? Persis ibarat lagu “Semangat Yang Hilang†oleh XPDC, semangat waja itu juga hilang.
Suratan atau kebetulan, tatkala pada detik skandal Guan Eng menjadi topik panas dan memerlukan tindakan segera, tiba-tiba rakyat dihidangkan dengan kes songlap dana di Kementerian Belia dan Sukan (KBS) oleh SPRM.
Ya, memang tidak salah apa diusahakan SPRM ke atas KBS, kerana itu amanah yang mereka pikul tetapi masa isu itu dibawa ke pengetahuan umum, memberi gambaran satu lagi cubaan untuk mengalihkan skandal Guan Eng.
Sehingga artikel ini ditulis, MYNEWSHUB masih belum dapat khabar apa-apa berita sama ada Setiausaha Agung DAP itu sudah dipanggil SPRM untuk memberi kenyataan. Di manakah silapnya walhal ia sudah masuk sebulan!
Apa yang pasti, ramai saksi sudah dipanggil untuk beri keterangan bersama banyak bukti. Rakyat semakin muak, apabila Guan Eng dilihat masih terus dibiarkan sempat lagi bermain “wayang†dengan angkuh dan berlagak pula.
Berbicara soal saksi, ingin MYNEWSHUB mengingatkan SPRM agar segera memastikan bangunan mereka ‘bebas’ selamat daripada kemungkinan yang boleh menyebabkan SPRM dituduh pembunuh seperti kes Teoh Beng Hock.
Cerita asalnya kes penyelewengan seorang Exco kerajaan negeri Selangor tetapi disebabkan kematian Beng Hock secara misteri, perhatian rakyat Malaysia tanpa sedar berjaya ‘dialihkan’ pembangkang dengan penuh jayanya.
Sekali lagi SPRM usah lupa siasat kes banglo Guan Eng sampai ke ‘lubang cacing’ sebagaimana kehebatan SPRM dalam kes Dr. Mohamad Khir, seorang doktor gigi biasa yang dapat beli rumah harga diskaun atas dasar rela hati.
Setakat ini, jika diperhalusi bukti-bukti awal yang berlegar di media sosial, umpama sudah terang lagi bersuluh tetapi SPRM konon belum mendapat ‘ilham’ membawa Guan Eng ke muka pengadilan. – Mynewshub.cc/HAA