SETIU – Kerajaan negeri Terengganu akan mengambil Woo Nina Grace, 19, yang baharu memeluk Islam, sebagai anak angkat bagi membantunya lebih mendalami ajaran Islam.
Menteri Besar Datuk, Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata sebagai saudara baru, sudah pasti remaja tersebut memerlukan sokongan daripada banyak pihak untuk beliau lebih memahami Islam.
“Beliau akan diberikan kemudahan serta bimbingan sewajarnya oleh kerajaan negeri melalui Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT),” katanya.
Razif ditanya pemberita berhubung langkah kerajaan membantu Nina, atau nama Islamnya, Nur Nina Farisha memulakan penghidupan baharu setelah memeluk Islam.
Nina melafazkan kalimah syahadah di hadapan pendakwah antarabangsa, Dr. Zakir Naik semasa sesi soal jawab syarahan pendakwah itu, disaksikan 40,000 hadirin di Padang Astaka, Kemaman, Khamis lalu.
Nina yang berasal dari Johor serta berdarah kacukan Cina dan Filipina itu belajar di Kolej Ranaco, Kemaman dekat sini.
Pengislaman Nina adalah kes pertama sejak Dr. Zakir datang ke Terengganu untuk menyampaikan siri syarahan umum anjuran kerajaan negeri.
Selain Kemaman, Dr. Zakir juga mengadakan syarahan umum di Stadium Tertutup Gong Badak, Universiti Malaysia Terengganu, dan Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di Besut.
Beliau juga akan menyampaikan syarahan di Kuala Lumpur dan Melaka. – BERNAMA