GARA-gara lembab dan tidak menyiapkan tugasan yang diberi, seorang guru tuisyen dipercayai bertindak merotan seorang murid perempuan tahun dua hingga berbirat.
Hal itu disedari bapa tiri kanak-kanak tersebut apabila terkejut melihat tangan dan kaki anaknya ada kesan rotan setelah dia pulang dari sebuah pusat tuisyen di bandar Melaka kira-kira pukul 7.15 petang pada 12 April.
“Saya terkejut apabila melihatnya dan menghubungi pusat itu.
“Guru itu berkata anak perempuan saya lembab dalam pembelajaran dan tidak menyiapkan kerja rumahnya. Itulah sebab mereka memukulnya.
“Walaupun mereka telah memberitahu kami yang mereka memang menggunakan kaedah itu untuk mengajar kanak-kanak, saya tidak fikir mereka akan memukulnya sehingga ke tahap itu,” katanya kepada mStar Online.
Berikutan itu, datuk kepada murid berkenaan telah membuat laporan polis di Balai Polis Tengkera, Melaka pada 13 April.
Murid perempuan itu dikatakan dijaga oleh datuk dan neneknya di Melaka, manakala ibu dan bapa tirinya tinggal di Johor Bharu.
Difahamkan ini bukan kejadian yang pertama murid itu dirotan di pusat tuisyen berkenaan, namun biasanya tidak seteruk itu kerana mereka hanya memukul tangan.
Susulan itu, murid itu telah dibawa menjalani pemeriksaan di Hospital Melaka.
Sementara itu, Ketua Polis Melaka Datuk Ramli Din mengesahkan pegawainya telah diarah menangkap guru tersebut dan kejadian itu sedang disiasat. – MYNEWSHUB.CC
Sumber: mStar Online