JOHOR BAHRU – Walaupun sudah disahkan menghidapi kanser usus tahap empat sejak tahun 2013, seorang pengusaha barangan ukiran dan perabot kayu palet tetap tabah melakukan kerja-kerjanya seperti biasa.
Abdul Rahman Semon, 48, yang menetap di Kampung Pasir di sini, masih cekal untuk menjalankan rutin harian dengan mengukir kayu dan membuat barang perabot daripada kayu palet.
Beliau tidak pernah putus asa dan lemah semangat untuk meneruskan hidup walaupun tahu peluangnya untuk hidup lama adalah sangat tipis.
“Saya buat barangan ukiran kayu ini sebab minat yang mendalam serta kemahiran yang saya miliki ini merupakan anugerah istimewa Allah. Bagi saya, dengan melakukan ukiran ini, saya dapat melupakan sakit yang saya hidapi ini,” katanya ketika ditemui di sini hari Rabu.
Abdul Rahman telah menjalankan enam kali rawatan kimoterapi di Hospital Sultanah Aminah dan Hospital Sultan Ismail, di sini sejak 2013 hingga 2014 sebelum mengambil keputusan untuk tidak meneruskan rawatan itu.
“Setelah berbincang dengan doktor, penyakit saya ini hanya 40 peratus sahaja akan sembuh. Ketika itu saya diberi pilihan untuk membuat pembedahan untuk meletakkan jaring di dalam usus saya supaya perut tidak mengembung,” katanya.
Namun Abdul Rahman berkata beliau berserah kepada Tuhan sahaja dan membuat keputusan tidak meneruskan rawatan serta pembedahan itu kerana merasakan dirinya lebih sakit ketika menjalani rawatan kimoterapi.
“Mungkin rawatan dan ubat ini tidak sesuai dengan saya. Saya percaya saya ada ubat lain boleh menyembuhkan saya contohnya dengan melakukan perkara yang saya minat selain jaga pemakanan,” kata datuk kepada empat orang cucu itu.
Bercerita mengenai hasil seninya, setakat ini Abdul Rahman telah membuat banyak barang perabot dan ukiran yang berasaskan kayu pallet yang diimport dari luar negara yang mana kosnya sahaja boleh mencecah RM900 untuk satu lori berisi kayu palet.
Katanya, barangan ukiran kayu dan perabot yang dihasilkannya telah banyak mendapat tempahan daripada kawan-kawan rapat dan peminat barangan kayu dan ukiran.
Biasanya, Abdul Rahman akan menerima tempahan daripada pemilik kedai atau butik yang berminat dengan barangan ukiran kayu untuk dijadikan perhiasan di premis masing-masing.
“Antara barangan yang saya sudah hasilkan setakat ini termasuk perabot seperti bangku, set almari televisyen, set teratak pengantin, meja, gazebo, barang cenderahati dan sebagainya,” katanya yang telah berkecimpung dalam bidang itu hampir 10 tahun.
Abdul Rahman berkata dirinya bersyukur kerana anak keduanya, Abdul Arif Abdul Rahman, 24, dilihat mewarisi bakatnya dan bakal mewarisi seni ukiran dan perabot dari kayu palet ini.
“Saya agak terkejut apabila anak saya turut berkemahiran untuk membuat kerja-kerja ukir dan membuat perabot ini. Di situ saya sangat gembira kerana ada orang dapat mewarisi kemahiran yang ada supaya ianya tidak terbuang begitu sahaja,” katanya.
Sementara itu, Hannawiah Hussein, 47, berkata sebagai isteri pesakit kanser, haruslah sentiasa memberi semangat dan tidak memberi tekanan kepada mereka.
“Jangan sesekali membuat mereka tertekan. Kalau mereka tertekan, mereka akan mudah sakit, lemah dan cepat mengalah kepada penyakit kanser. Mereka harus sentiasa senang hati selalu,” kata ibu kepada enam orang anak itu. – BERNAMA