KOTA KINABALU – Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) mengambil langkah memperhebatkan lagi program penerangan belia termasuk dalam bentuk santai bagi mendekati golongan itu agar mereka turut bersama-sama kerajaan dalam menjayakan Wawasan 2020.
Program penerangan kepada belia penting kerana mereka merupakan aset penting kepada negara pada masa hadapan terutama dalam pembangunan insan dan ekonomi.
Sehubungan itu, satu program santai bersama belia yang dihadiri Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak dan Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Datuk Musbah Jamli diadakan di Kompleks Sukan Likas, malam tadi.
Pengerusi Penganjur, Baharul Sawi yang juga Setiausaha Politik kepada Salleh berkata program itu bertujuan merapatkan hubungan merapatkan hubungan pemimpin di peringkat kementerian dengan golongan belia di negeri ini.
Katanya, program berkenaan disusun atur mengikut selera belia termasuk persembahan pentas oleh artis tempatan dan interaksi bersemuka secara santai untuk mendengar isu semasa terutamanya yang membabitkan golongan belia.
“Golongan belia perlu didampingi bagi membolehkan mereka bersama-sama dengan kerajaan untuk membangunkan negara ini, sekali gus merealisasikan wawasan murni kerajaan.
Selain itu program seumpama ini memberi peluang golongan itu untuk menyampaikan segala permasalan untuk tindakan lanjut. Program ini merupakan satu permulaan kerana program santai ini akan kita perluaskan dari semasa ke semasa,” kata beliau. – BERNAMA