SEOUL – Pihak berkuasa Korea Selatan menggesa semua pengendali lapangan padang golf di negara ‘kimchi’ itu segera membenarkan permainan golf bebas tanpa perlu ada petugas ‘caddy’ atau kereta kecil ‘buggy’.
Ia adalah antara sebahagian daripada usaha proaktif oleh pihak pemerintah untuk menjimatkan kos permainan itu dan mengelakkan sukan golf terus dikaitkan hanya dengan imej eksklusif golongan elit tertentu sahaja.
Langkah terbaharu tersebut perlu dijalankan selepas jumlah kunjungan pemain ke padang-padang golf di seluruh Korea Selatan tumbuh paling perlahan malah lesu dalam tempoh masa tiga tahun sejak kebelakangan ini.
Justeru pihak berkuasa mahu menjadikan sukan golf sebagai satu jenis permainan yang inklusif untuk semua orang awam tanpa mengira status latar belakang ekonomi, jantina, pangkat atau peringkat usia seseorang.
Buat masa sekarang, sukan golf hanya mampu menarik kira-kira 38 peratus penyertaan warga Korea Selatan, namun enam daripada 10 pemain golf terbaik wanita di dunia merupakan rakyat negara tersebut sendiri.

Ini mendorong ramai orang awam khususnya generasi muda lebih gemar bermain golf secara maya, dan bukan lagi di padang hijau yang luas sehingga terpaksa letih berjalan kaki serta mengambil masa begitu lama.
Setakat ini Korea Selatan memiliki 473 padang golf sebenar termasuk 234 buah yang terbuka hanya untuk ahli berbayar berbanding lebih 7,000 lapangan padang golf maya, menurut Persatuan Golf Simulasi Korea.
Bagaimanapun Persatuan Pengusaha Lapangan Golf Korea menyalahkan tindakan kerajaan mengenakan cukai yang agak tinggi terhadap industri sukan itu termasuk untuk sewa penggunaan caddy dan buggy.
Ini menyaksikan rakyat Korea Selatan cuma berbelanja sekitar AS$13 bilion (RM50.8 bilion) setahun untuk bermain golf atau purata AS$260 (RM1,015) bagi setiap orang. - Agensi/Mynewshub.cc/HAA