Seoul – Korea Utara didakwa melakukan persiapan untuk meletupkan replika kediaman presiden Korea Selatan, ‘Blue House’ yang dibina di satu lapangan sasar meriam di pinggir Pyongyang.
Seorang pegawai di pejabat Ketua Turus Bersama di Seoul berkata, tentera Korea Utara dikesan membina replika bersaiz separuh itu awal bulan ini.
“Pyongyang bersiap sedia berlatih menyerang Blue House dengan menggunakan replika itu sebagai sasaran,†kata pegawai terbabit.
Kira-kira 30 meriam dipercayai dikerah ke kawasan latihan itu.
Menurut pegawai itu, latihan berkenaan dipercayai untuk meningkatkan ketegangan dengan Seoul, menambah kesetiaan kepada pemimpin Korea Utara, Kim Jong-Un serta memburukkan lagi kebimbangan mengenai keselamatan di Korea Selatan.
Korea Utara didakwa cuba meningkatkan sentimen nasionalis menjelang kongres parti pemerintah 6 Mei depan, kali pertama diadakan selepas hampir 40 tahun.
Wujud kebimbangan kemungkinan majlis itu didahului dengan ujian baru nuklear negara itu.
Ketegangan semakin meningkat di semenanjung Korea sejak Pyongyang melakukan ujian nuklearnya Januari lalu.
Korea Utara juga berulang kali mengancam menyerang Blue House yang menjadi pejabat dan kediaman Presiden Park Geun-Hye. – Agensi/myMetro Online