KANGAR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) Perlis merampas 1,329 barangan tiruan pelbagai jenama antarabangsa bernilai RM31,300 dalam Ops Barangan Tiruan di tiga premis di Arked Niaga Padang Besar, semalam.
Ketua Pegawai Penguatkuasanya, Jamal Nor Ahmad Harun berkata operasi dua jam itu bermula 12.30 tengah hari dibuat berikutan aduan oleh syarikat yang mewakili pemegang cap dagangan jenama Adidas, Nike, Puma dan Levi’s.
Beliau berkata 427 unit barangan tiruan yang disita antaranya kasut dan seluar sukan, selipar, stokin dan 902 helai seluar jeans jenama Levi’s.
“Barangan tiruan itu dipercayai dibawa masuk dari Thailand juga untuk dijual sempena musim perayaan Hari Raya Puasa akan datang,” katanya kepada pemberita di pejabat KPDNKK Perlis di sini, hari ini.
Menurut Jamal Nor kes berkenaan adalah yang ketiga melibatkan hak intelektual dalam tahun 2016 di Perlis.
Peniaga terbabit tidak ditahan tetapi butir-butir lengkap mereka diambil. Kes itu disiasat mengikut Seksyen 8(2)(b) Akta Perihal Dagangan 2011. Tindakan akan diambil terhadap pemilik premis atau pemilik perniagaan sebenar, katanya.
Beliau berkata kesalahan mengikut seksyen itu adalah penalti perseorangan tidak lebih RM10,000 bagi setiap unit barang dan penjara tidak lebih tiga tahun.
Bagi syarikat atau perbadanan pula boleh dikenakan denda tidak lebih RM15,000 bagi setiap unit barang yang dirampas, kata Jamal Nor.
Menurutnya KPDNKK akan terus membuat serbuan di premis-premis perniagaan dari masa ke masa sama ada mendapat aduan atau tidak bagi membanteras kegiatan penjualan barang tiruan daripada berleluasa demi menjaga kepentingan pengguna.
Beliau berkata KPDNKK juga akan melihat dakwaan pemilik cap dagangan kerana ia merupakan perkara penting untuk melindungi pemilik paten barangan dan hak cipta mereka tidak dicuri atau dicetak rompak. – BERNAMA