BANGI – Kementerian Pendidikan Tinggi sedang menjalankan kajian dan tinjauan untuk menambah baik pelaksanaan pemberian Baucar Buku 1Malaysia (BB1M) bagi mengekang kegiatan penyalahgunaan baucar itu.
Menterinya Datuk Seri Idris Jusoh berkata hasil kajian serta tindakan yang perlu dilaksanakan berhubung baucar itu akan diumumkan tahun hadapan.
“Kita masih sedang mengkaji dan tahun hadapan, kita akan lihat tindakan yang perlu dilaksanakan,” katanya mengulas laporan penyalahgunaan BB1M ketika ditemui pemberita selepas penutupan program ‘Jom Masuk IPT’ di Universiti Kebangsaan Malaysia di sini.
Menurut laporan media, pelajar “menjual BB1M” bernilai RM250, yang bertujuan meringankan beban perbelanjaan pembelian buku, kepada kedai-kedai buku bagi mendapatkan wang tunai antara RM190 dan RM230.
Idris menegaskan BB1M diwujudkan pada asasnya bagi menggalakkan budaya membaca dalam kalangan rakyat Malaysia, di samping membantu para pelajar yang kurang kemampuan membeli buku.
“Pada asasnya, budaya membaca dalam kalangan rakyat kita masih rendah,” katanya.
Mengenai ‘Jom Masuk IPT’, Idris berkata program ini berperanan sebagai pusat sehenti bagi memudahkan orang ramai khususnya mendapatkan maklumat tentang peluang yang terdapat di universiti awam, politeknik, kolej komuniti, institusi pengajian tinggi swasta dan pusat kemahiran di seluruh negara.
“Program ini juga membolehkan pelajar mengetahui kursus-kursus yang ada dan boleh berjumpa dengan pegawai mendapatkan penjelasan mendalam serta cara permohonan kemasukan ke institusi pengajian tinggi berkenaan,” katanya.
Sementara itu, Idris berkata sebanyak 300,000 pelajar telah memohon untuk masuk ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) sejak permohonan dibuka Januari lepas. Permohonan UPU akan ditutup pada Selasa ini (5 April).
Terdahulu, program ‘Jom Masuk IPT’ dimulakan dengan persembahan video Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) diikuti dengan kuiz bersama para pelajar dan pembentangan ‘Soaring Upwards’ oleh Idris.
Hampir 260,000 pengunjung dijangka hadir ke program dua hari yang bermula hari ini, mulai 9 pagi hingga 6 petang di Dewan Gemilang, UKM. – BERNAMA