TAIPING – Seorang lelaki ditemui mati dengan beberapa kecederaan pada bahagian kepala selain patah tangan kanan di kawasan Larut Tin Sambungan, Pokok Assam dekat sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah di sini ACP Harrith Kam Abdullah berkata mangsa yang berumur 25 tahun dari Jalan Simpang, dekat sini dipercayai dilanggar dengan sebuah lori selepas satu pergaduhan.
Katanya polis menerima maklumat mengenai satu kemalangan maut di kawasan berkenaan pada kira-kira 5 petang dan sebaik tiba di lokasi mendapati seorang lelaki telah meninggal dunia.
“Polis turut menemukan sebuah motosikal serta sebilah parang dengan kesan darah berdekatan dengan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Harrith Kam berkata berdasarkan keterangan saksi, mangsa yang menunggang motosikal bersama seorang rakan telah dilanggar oleh sebuah lori sebelum pemandunya melarikan diri.
Menurut Harrith Kam berdasarkan siasatan awal adalah dipercayai mangsa sengaja dilanggar oleh pemandu lori itu kerana dendam selepas bergaduh dengan seorang anggota keluarganya.
Beliau berkata pemandu lori itu berjaya ditangkap di Hospital Taiping pada 8 malam tadi. Turut ditangkap pembonceng motosikal serta seorang lelaki yang bergaduh dengan mangsa. – BERNAMA