PROGRAM lawak Maharaja Lawak Mega 2016 (MLM2016) semakin sampai ke kemuncak apabila hanya tingga dua minggu sahaja lagi sebelum diumumkan juara untuk edisi kali ini.
Setakat ini lima peserta masih bertahan dan bakal bersaing dalam peringkat separuh akhir yang akan berlangsung minggu hadapan.
Mereka ialah kumpulan Bocey, LOL, Joras, Puteh dan Rayza Mukmin.
Namun, ramai penonton melahirkan perasaan kurang senang mereka dengan lawak bertemakan artis jemputan yang ditunjukkan oleh kumpulan Joras yang dianggotai Syuk, Joey dan Rahim.
Dalam komedi yang menampilkan artis jemputan itu, mereka mengetengahkan pelakon veteran, Mak Jah yang cukup popular dengan pelbagai watak pelakon pembantu dalam mana-mana drama lakonannya.
Yang jadi tak sedapnya, ramai beranggapan lawak yang diketengahkan Joras seolah-olah menghina rupa Mak Jah.
Mungkin Mak Jah tidak terasa hati dengan lawak Joras memandangkan sebelum dipentaskan, mereka perlu berlatih beberapa hari sebelum itu bagi memperhalusikan lagi lawak mereka.
Namun, yang tak tahannya, salah seorang juri iaitu Bunga Citra Lestari juga dilihat seolah-olah sama ‘mengutuk’ Mak Jah apabila dia secara berseloroh menyuruh kumpulan Joras meminta maaf kepada juri Ziana Zain kerana menggunakan isi lawak menyamakan wajah Ziana seperti Mak Jah.
Hmm, pada anda relevan lagi ke kalau buat lawak mesti nak rendah-rendahkan rupa dan fizikal seseorang itu? Anda fikir dan nilaikan sendiri ya! – MYNEWSHUB.CC