KUALA LUMPUR – Jaringan menerusi sepakan penalti Ilija Spasojevic seminit sebelum permainan tamat membantu Melaka United melonjak sebagai pendahulu baharu Liga Perdana, malam tadi.
Gol minit ke-89 itu sudah cukup membantu Melaka United menang tipis 1-0 ke atas DRB-Hicom FC di Stadium Proton, Tanjung Malim, Perak, sekali gus memintas Kuala Lumpur yang sekadar seri 2-2 dengan Perlis.
Kemenangan kelima daripada lapan perlawanan menyaksikan skuad kendalian Mat Zan Mat Aris itu mengumpul 18 mata, sama dengan Kuala Lumpur tetapi memintas dengan kelebihan jaringan.
Kuala Lumpur pula turun satu anak tangga ke kedudukan kedua liga setelah terikat dengan Perlis di Stadium Tunku Syed Putra Kangar, Perlis dalam perlawanan yang diadakan pada sebelah petang.
Dua gol Kuala Lumpur dijaringkan Mohamad Rashid Mohamed Aya pada minit ketujuh dan Anselmo Arruda Da Silva pada minit ke-65 manakala gol Perlis disumbang Mohamadou Sumareh pada minit ke-11 dan Vincent Kayne pada minit ke-67.
Di Stadium Majlis Perbandaran Pasir Gudang, Johor Baharu, Johor Darul Ta’zim II (JDT II) bangkit daripada ketinggalan dua gol untuk menewaskan Negeri Sembilan 3-2.
Negeri Sembilan selesa mendahului 2-0 hasil jaringan Andrew Nabbout pada minit kedua sebelum beliau menggandakan kedudukan pada minit ke-20 setelah menyempurnakan sepakan penalti.
Skuad Harimau Selatan tidak berputus asa dan berjaya meledak tiga gol menerusi Mohd Afiq Fazail pada minit ke-45, kapten pasukan Shahril Ishak (minit ke-64) dan Zaquan Adha Abdul Radzak pada minit ke-89.
PKNS FC pula kembali meraih kemenangan setelah menang tipis 2-1 ke atas Sabah di Stadium Hang Jebat, Melaka.
Tuan rumah selesa mendahului 2-0 menerusi jaringan Gabriel Miguel Guerra pada minit ke-14 dan minit ke-83 sebelum Prince Tochukwu Nnake mengurangkan defisit jaringan untuk Sabah pada minit ke-86.
Turut meraih tiga mata adalah Kuantan FA yang menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-1 di Stadium Tun Abdul Razak, Jengka, Pahang.
ATM terlebih dahulu berada di hadapan menerusi jaringan Mohd Azim Faris pada minit ke-17 sebelum Abdul Malik Mat Ariff muncul wira skuad ‘The Seagulls’ menerusi jaringan pada minit ke-24 dan minit ke-40.
Dalam pada itu, Sime Darby FC dan UiTM FC terikat seri tanpa jaringan dalam aksi di Stadium Majlis Perbandaran Selayang. – BERNAMA