BANGI – Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) merupakan pihak yang paling layak untuk meneliti modul perniagaan yang diguna pakai Proton Holdings Berhad (Proton) ketika era Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Idris Jusoh berpendapat modul perniagaan yang digunakan semasa Mahathir menjadi pengerusi syarikat pengeluar kereta nasional perlu dipantau oleh MITI dan semua pihak yang berkelayakan.
“Saya beranggapan, MITI yang diketuai Menterinya, Datuk Seri Mustapa Mohamed, berpengalaman luas dalam isu ini, ditambah pula beliau sudah lama memegang portfolio dalam sektor perdagangan dan industri tempatan dan luar negara.
“Pada hemat saya, beliau (Mustapa) paling arif dengan apa yang berlaku dalam PROTON,” katanya ketika diminta mengulas mengenai perkara ini.
Idris berkata demikian kepada pemberita selepas menutup program ‘Jom Masuk IPT’ di Universiti Kebangsaan Malaysia hari ini.
Semalam, Mustapa dalam satu kenyataan, berkata model perniagaan yang diguna pakai PROTON ketika ini tidak mampu bertahan lama.
Katanya ini disebabkan beberapa faktor seperti kegagalan PROTON menjalin kerjasama dengan syarikat automotif antarabangsa terkemuka, sekali gus tidak mampu bersaing dengan jenama lain. – BERNAMA