KUALA LUMPUR – Ahli Parlimen Sepang, Mohamed Hanipa Maidin kini direhatkan di Unit Rawatan Rapi Wad Neurologi Hospital Kuala Lumpur (HKL) selepas menjalani pembedahan buang darah beku di otaknya.
Pembedahan tersebut khabarnya berjalan dengan lancar bermula pukul 9.45 malam Isnin dan berakhir kira-kira 12.45 tengah malam Selasa, memetik laporan pelbagai portal berita tempatan pada pagi 5 April.
Mohamed Hanipa sebelum itu terpaksa dikejarkan ke hospital tersebut kerana didapati rebah di atas kerusinya sendiri dalam persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen sini lewat petang Isnin.
Pada kejadian yang tidak dijangka kira-kira pukul 5.30 petang itu, beliau dikatakan secara tiba-tiba mengalami pening kepala dan kelihatan begitu tidak bermaya dipercayai akibat masalah tekanan darah tinggi.
Mohamed Hanipa segera diperiksa oleh pasukan doktor Parlimen sebelum dibawa dengan sebuah ambulans ke Institut Jantung Negara (IJN) yang kemudiannya merujuk kes beliau itu pula kepada pihak HKL.
Beliau yang juga peguam dan merupakan Ahli Parlimen PAS sejak menang kerusi Sepang pada Pilihan Raya Umum 2013 sebelum menyertai Parti Amanah Negara (PAN) pada 16 September tahun lepas.
Bekas Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat itu pernah bertanding pada Pilihan Raya Umum 2008 di kerusi Tanjong Karang namun tewas kepada calon BN, Datuk Seri Noh Omar. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA