MIRI – Anggota Parlimen Seremban Anthony Loke Siew Fook daripada DAP dihalang masuk ke Sarawak hari ini selepas tiba dengan penerbangan dari Kuala Lumpur bersama-sama penasihat DAP Lim Kit Siang, kata Setiausaha DAP Sarawak Alan Ling Sie Kiong.
Beliau berkata Loke dan Lim tiba di lapangan terbang di sini pada 9.35 pagi.
“Kit Siang diberikan kebenaran oleh imigresen tetapi Loke diarah pulang dengan penerbangan seterusnya,” katanya kepada Bernama.
Ling berkata pegawai imigresen tidak memberikan alasan kenapa Loke dihalang masuk ke negeri ini.
Katanya Loke dan Lim dijadual melawat beberapa tempat di sini sebagai persediaan parti menghadapi pilihan raya negeri Sarawak ke-11 pada 7 Mei. – BERNAMA