DUNIA hiburan tanah air sekali lagi menerima berita sedih apabila pelakon komedi popular, Mr. Os atau nama sebenarnya Mohd. Yusof Abdul Hamid telah kembali ke Rahmatullah kira-kira pukul 2.15 petang Jumaat.
Allahyarham yang dilahirkan di Kuala Kangsar, Perak dilaporkan meninggal dunia akibat menghidap kanser paru-paru di Hospital Selayang, Selangor dalam usia 55 tahun.
Berita duka tersebut turut disahkan sendiri oleh seorang anak sulungnya, Nor Haryatie, 28; menerusi laman Facebook miliknya.
“Allah… Allah… Allah… Perginya seorang seniman Mohd. Yusof bin Abdul Hamid @ Mr. Os buat selama-lamanya.
“Perginya seorang seniman Mohd Yusof Bin Abdul Hamid @ Mr. Os buat selama-lamanya. Allah beri hari yang terbaik, waktu yang terbaik di usianya 55 tahun.
“Kita jumpa di sana abah. Abah pergi dengan tenang dan berwuduk selepas solat tadi.
“Kau ampunkan segala dosa-dosanya, kau tempatkan Abah di kalangan orang-orang yang beriman,” tulisnya lagi menerusi akaun Facebook.
Difahamkan, Mr. Os mengembuskan nafas terakhir dalam keadaan berwuduk selepas selesai solat Zohor. Pada Mac tahun lalu, Allahyarham pernah menjalani pembedahan akibat pendarahan pada tonsil.
Filem pernah dibintangi beliau antaranya Balik Kampung (1986), Mr. Os (1987), Kembar Siam (1988),  Awang Spanar (1989), Orang Kampung Otak Kimia (1990), Cikgu Romantik (1993) dan Senario The Movie (2011).
Mr. Os dan rakan seperjuangannya, Abon atau nama sebenarnya Sharizan Ahmad pernah membentuk kumpulan Osbon serta muncul menjuarai pertandingan Maharaja Lawak Mega terbitan Astro pada tahun 2011.ÂÂ
Allahyarham pernah menjadi pemandu teksi selain juruhebah sambilan stesen radio Perak FM ketika tidak aktif dalam dunia seni. Semoga Allah SWT mencucuri rahmat ke atas rohnya. Inna lillah wa inna ilaihi rojiun.
– MYNEWSHUB.CC