KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan mengalami cuaca panas dan kering setiap tahun kerana fenomena El Nino hanya berlaku dalam tempoh setiap dua hingga tujuh tahun.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Dr. Abu Bakar Md Diah berkata Malaysia khususnya di negeri-negeri utara Semenanjung kini mengalami cuaca panas kerana dua faktor iaitu fenomena El Nino dan kedudukan beberapa negeri yang berdekatan dengan kawasan rabung subtropika.
“Rabung subtropika ialah kawasan yang menerima tekanan tinggi atmosfera yang menghalang pembentukan awan seterusnya mengakibatkan cuaca panas,” katanya ketika menjawab soalan Senator Datuk Jaspal Singh pada persidangan Dewan Negara di sini, Isnin.
Jaspal bertanya mengapa Malaysia terutamanya di utara Semenanjung Malaysia sekarang mengalami cuaca panas dan sama ada ia berlaku setiap tahun.
Abu Bakar berkata cuaca panas di Malaysia tidak berlaku setiap tahun kerana berdasarkan kepada rekod kementerian, fenomena El Nino berlaku pada jarak yang panjang.
Sebelum ini, Malaysia pernah mengalami fenomena berkenaan pada 1982 sehingga 1983 diikuti pada 1997 sehingga 1998 dan terbaharu dari 2015 hingga tahun ini.
Selain Malaysia, fenomena El Nino turut melanda Australia, negara-negara lain di Asia Tenggara dan di sekitar Lautan Pasifik. – BERNAMA