SEBELUM ini, tersebar di laman sosial cerita penyanyi kelahiran Akademi Fantasia Nubhan dan Firman ditipu oleh sebuah syarikat pelancongan tempatan ketika mahu menunaikan umrah bersama keluarga.
Kini Nubhan Ahmad dan keluarga telah selamat menjalani ibadah umrah bersama keluarga dan telah pun kembali ke tanah air.
Menurut penyanyi berusia 30 tahun itu kepada sebuah portal hiburan, antara doa penting yang dipohon ketika berada di tanah suci ialah untuk menimang cahaya mata.
Seperti umum mengetahui pada awal Januari lalu, penyanyi itu telah berkongsi berita sedihnya dan isteri, Afifah Hidayah apabila mengalami keguguran saat kandungan mencecah usia tujuh minggu.
“Doa untuk menimang permata hati sudah tentu merupakan doa paling penting dan berdoa untuk kesejahteraan serta kebaikkan buat keluarga, termasuklah untuk perniagaan saya.
“Saya pergi menunaikan ibadah bersama mak, manakala isteri tidak dapat serta sebab dia ada peperiksaan dan tujuh bulan lagi akan habis belajar. Oleh itu, sama-sama kita doakan agar semuanya berjalan dengan lancar,” ujar Nubhan kepada portal tersebut.
Manakala dalam perkembangan lain pula, penyanyi ini turut menerima beberapa tawaran untuk menyertai rombongan umrah bersama peminat. Namun akan dipertimbangkan sekiranya tidak punya banyak kerja.
Nubhan juga baru sahaja menyiapkan album barunya berjudul Romantika yang memuatkan lima lagu dan tiga lagu sebelum ini. -MYNEWSHUB.CC