KUALA LUMPUR – Pemain nombor enam dunia, Omneya Abdel Kawy dari Mesir, berjanji akan mengerahkan segala kemampuannya apabila menentang pemain pilihan pertama, Laura Massaro dari England pada perlawanan suku akhir Kejohanan Skuasy Wanita Dunia NAZA PSA 2016 esok.
Naib juara kejohanan dunia 2010 itu berkata perlawanan menentang juara dunia 2013 dan pemain nombor satu dunia itu bukan sesuatu yang mudah memandangkan dia belum pernah mengalahkan pemain tersebut.
“Saya kalah kepadanya, kebanyakannya dengan keputusan 0-3 pada beberapa kejohanan sebelum ini … perlawanan esok sudah pasti sesuatu yang baharu bagi saya dan kami mempunyai peluang yang sama, cuma saya perlu berusaha sedaya upaya untuk bermain dengan cemerlang sejak mula lagi.
“Kalau saya terlambat untuk bangun kembali, Laura akan terus mara, tapi, paling penting, saya akan cuba mengekalkan rancangan saya dan mengaturnya dengan betul,” kata pemain Mesir itu kepada pemberita.
Terdahulu, Omneya terpaksa bekerja keras untuk mengetepikan pemain nombor 15 dunia dari Malaysia Delia Arnold 9-11, 11-8, 11-9 dan 11-8 pada pusingan kedua kejohanan tersebut di Nicol David Arena, Pusat Skuasy Negara di Bukit Jalil hari ini.
Massaro pula mara ke suku akhir setelah mengalahkan dengan mudah pemain handalan India, Joshna Chinappa dengan 11-3, 11-6 dan 11-3 dalam masa 26 minit.
Mengenai pertemuannya dengan Delia, Omneya berkata perlawanan itu agak mencabar kerana dia terpaksa bangun daripada kekalahan pada set pertama untuk menyekat kemaraan lawannya.
“Dia (Delia) pemain hebat … saya cuba memaksanya ke belakang (gelanggang), tapi dia menunjukkan permainan yang begitu baik di situ hingga saya perlu membuat beberapa pukulan maut setelah menyedari saya ketinggalan.
“Ketika perlawanan berlangsung, saya cuba mencari jalan untuk mengutip mata dan saya gembira ia berhasil membantu saya mencapai kemenangan,” kata Omneya.
Sementara itu, Delia menyuarakan kepuasan hatinya walaupun kalah pada pusingan kedua kerana katanya ia merupakan persembahan terbaiknya daripada lima kali beraksi pada kejohanan dunia setakat ini.
“Berbanding beberapa tahun lepas, permainan saya sudah banyak meningkat, tapi ada banyak perkara lagi yang perlu saya perbaiki untuk menjadi antara 10 pemain terbaik (pada masa akan datang).
“Banyak yang saya pelajari daripada perlawanan hari ini dan saya akan tonton video untuk melihat apa yang perlu saya perbaiki,” kata pemain kelahiran Kuala Lumpur itu dan menambah masa depan skuasy negara ini berada di landasan betul dengan kemunculan banyak pemain generasi baharu. – BERNAMA