PEKAN – Pengurusan Air Pahang Berhad (PAIP) akan menggunakan sumber air bawah tanah menerusi penggunaan telaga tiub sebagai langkah alternatif untuk mengatasi masalah bekalan air di Chini ketika musim kemarau.
Pengurus Besar (Operasi) PAIP, Amir Khan Ayob Mohamed berkata untuk tujuan itu pihaknya sudahpun meminta Jabatan Mineral dan Geosains mengkaji kawasan bersesuaian serta kuantiti dan kualiti air yang boleh diagihkan kepada penduduk.
“Sekarang ini kita kena tunggu hasil kajian pihak Jabatan Mineral dan Geosains dahulu untuk tindakan selanjutnya. Ia juga sebagai persediaan untuk menghadapi cuaca panas melampau seperti ini sekiranya berlaku tahun depan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan bersama media ke Loji Rawatan Air Chini dekat sini, Rabu.
Amir Khan berkata sejak 10 hari lepas kapasiti pengeluaran air di loji rawatan itu berkurangan sebanyak 10 juta liter sehari berbanding 17 juta liter sebelum ini berikutan cuaca panas melampau akibat fenomena El Nino.
Katanya paras air di loji rawatan itu kini berada tahap kritikal sebanyak 0.18 meter iaitu di bawah paras normal satu meter ekoran sumber air mentah dari Sungai Mentiga cetek berikutan fenomena berkenaan.
Keadaan itu telah menjejaskan bekalan air melibatkan seramai 1,500 akaun pengguna di sekitar Chini.
“Di loji ini ada tiga pam iaitu dua pam besar dan satu pam kecil. Namun sekarang satu pam kecil sahaja boleh beroperasi daripada tiga pam ini selama 12 jam sehari berbanding 24 jam sebelum ini secara bergilir-gilir,” katanya yang menyifatkan keadaan itu sebagai yang terburuk dalam tempoh 30 tahun.
Katanya buat masa ini PAIP menyediakan 27 tangki statik dan sembilan lori tangki bagi memudahkan penduduk sekitar Chini untuk mendapatkan bekalan air.
Dalam pada itu, Amir Khan berkata setakat ini empat loji rawatan air di Pahang berada dalam paras kritikal iaitu Loji Rawatan Air Jelai dan Loji Rawatan Air Batu 9 di Lipis, Loji Rawatan Air Lubuk Kawah di Temerloh serta Loji Rawatan Air Chini berkenaan di Pekan.
“Biarpun kritikal tetapi loji air tersebut masih beroperasi seperti biasa namun kapasiti pengeluaran menurun dan menjejaskan bekalan air kepada penduduk,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhan lebih 8,000 akaun pengguna terlibat dengan masalah berkenaan di tiga daerah terbabit. – BERNAMA