KUALA LUMPUR – Pakatan Harapan bersikap biadap dengan menuduh pendakwah Islam terkemuka, Dr. Zakir Naik berkemungkinan terlibat dengan rancangan UMNO untuk mempergunakan isu agama bagi meraih merit politik.
Pemimpin Pakatan Rakyat dari Parti Amanah Negara (PAN), Shazni Munir Mohd. Ithnin juga dengan semborono dan tanpa sebarang asas menuduh kononnya ia mungkin dirancang oleh pegawai-pegawai Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Beliau yang juga Naib Ketua Pemuda PAN dipercayai membuat fitnah itu gara-gara sakit hati dengan ceramah Dr. Zakir beliau gembira kehadirannya dapat menyatukan penyokong dua parti Islam di Malaysia iaitu UMNO dan PAS.
“Sama ada jemputan Dr. Zakir ke Terengganu memang telah dirancang sebelumnya oleh orang-orang kuat di Pejabat Perdana Menteri atau tidak, tidaklah mampu untuk kita mengesahkannya.
“Boleh jadi memang telah dirancang awal, boleh jadi tidak. Mungkin juga Datuk Seri Razif (Menteri Besar Terengganu) sememangnya ‘die-hard fan’ Dr. Zakir dan orang-orang kepercayaan Najib terhidu peluang yang ‘amat baik’ di balik jemputan Menteri Besar Terengganu ini,” dakwanya dalam satu kenyataan media semalam.
Shazni Munir dalam pada itu menuduh pihak polis sengaja melarang ceramah Dr. Zakir di Melaka untuk menjadikan kehadiran pendakwah itu sebagai isu keagamaan untuk UMNO meraih merit politik.
Namun, beliau tidak menyebut tentang isu sebenar yang membangkitkan kemarahan umat Islam iaitu tindakan biadap pemimpin DAP menyeru rakyat menghalau Dr. Zakir malah menggelar beliau sebagai setan.
“Logiknya, mustahil isu Dr. Zakir ini boleh mengundang ketegangan agama jika tiada orang yang mahukan ianya berlaku. Segalanya seperti lancar dan teratur,” dakwanya.
Media melaporkan Dr. Zakir dalam ceramahnya di Terengganu melahirkan rasa gembira kerana mendapat tentangan pihak tertentu di Malaysia kerana membuka mata dua parti politik Islam iaitu UMNO dan PAS untuk bersatu.
“Apa yang dapat dilihat, nampak umat Islam semakin bersatu. Apa yang saya percaya, jika saya dapat menyatukan umat Islam walaupun kecil, saya bersyukur kepada Allah S.W.T dan berdoa semoga Allah S.W.T memberkati usaha dakwah ini,” kata Dr. Zakir. – MYNEWSHUB.CC