JOHOR BAHRU – Caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) terhadap kenderaan asing yang memasuki negara ini menerusi Singapura akan dilaksanakan tahun ini, selepas beberapa kali ditangguhkan Kementerian Pengangkutan.
Menteri berkenaan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata namun, pihaknya perlu menyelesaikan beberapa masalah teknikal terlebih dahulu sebelum melaksanakan VEP.
“Saya tidak mahu umum bila pelaksanaan VEP kerana tidak ada gunanya kita umumkan bila hendak buat tetapi bila sampai waktu, kita tidak dapat buat,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri perasmian persidangan antarabangsa ‘The Belt and Road Initiative: The China-ASEAN Relation’ oleh Menteri Besar Johor Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin di sini, hari ini.
Liow yang juga Presiden MCA berkata pelaksanaan VEP itu menerima sokongan baik daripada pihak Singapura.
VEP, yang sepatutnya dilaksanakan tahun lepas, bertujuan menyelaras, menyurai dan menyeragam sistem lalu lintas dengan lebih sistematik di pintu masuk antara Johor dan Singapura.
Semasa ditanya tindakan syarikat penerbangan Rayani Air menghentikan operasinya buat sementara waktu bagi menyelenggarakan pengurusannya, Liow berkata ini menunjukkan syarikat penerbangan terbabit memandang serius amaran yang dikeluarkan kerajaan sebelum ini.
“Rayani Air tahu amaran yang kerajaan beri sebelum ini serius dan disebabkan itu mereka mengambil tindakan sedemikian. Apa yang terjadi kepada Rayani Air, itu kena tanya pihak mereka,” katanya.
Mengenai isu perkhidmatan pengangkutan dalam talian Uber dan GrabCar, Liow berkata pihaknya sedang berbincang dengan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) bagi mencari mekanisme terbaik bagi menyelesaikan masalah berbangkit antara Uber, GrabCar dan teksi.
“Kita mengadakan perbincangan dengan SPAD untuk meneliti mekanisme mendaftar perkhidmatan Uber dan GrabCar supaya mempunyai platform sama dengan teksi biasa.
“Keputusannya dijangka tidak lama lagi,” katanya sambil menjelaskan langkah itu dibuat selepas mendengar keluhan pemandu dan rakyat yang mahukan pengangkutan awam yang efisien di negara ini. – BERNAMA