SEORANG lelaki di Bradford, Britain terperanjat besar apabila mendapati roti keju gulung yang dibelinya mengandungi daging babi.
Menurut Shamrez Razaq yang beragama Islam, dia selalu membeli roti keju gulung dari jenama Morrisons itu untuk dijadikan santapan dirinya dan keluarga.
Pada bungkusan roti itu, tertulis ramuan yang digunakan selain roti itu dikatakan sesuai untuk vegetarian.
Namun, Shamrez terkejut sebaik menggigit roti itu apabila terdapat kepingan daging sebelum meludahnya kembali.
Selepas diteliti baru dia menyedari itu adalah daging babi, namun tidak sempat menghalang adik lelakinya yang berusia lapan tahun yang sudah menghabiskan cebisan roti itu.
Shamrez terus membawa roti itu ke kedai yang dibeli sebelum diberi penebusan wang oleh pihak pengeluar.
“Saya tidak kisah dengan duit pulangan ini. Apa yang saya harapkan mereka tidak lagi mengulangi kesilapan sama seperti ini di masa akan datang,” katanya.
Sementara itu, pihak Morrisons menyatakan permohonan maaf mereka dan berjanji akan memastikan insiden sebegitu tidak akan berlaku lagi.
Insiden itu berlaku kerana roti daging babi itu secara tidak sengaja telah diletakkan dalam bungkusan roti keju gulung yang selalu dibeli oleh Shamrez. – MYNEWSHUB.CC