KUANTAN – Seorang pendaki yang cedera selepas dipanah petir semasa mendaki Gunung Rajah dekat Bentong petang semalam berjaya dibawa turun awal pagi ini.
Ketua Polis Daerah Bentong Supt Mohamad Mansor Mohd Nor berkata, mangsa Mohd Dinie Hassan berusia 24 tahun dan berasal dari Setapak, Kuala Lumpur dilaporkan mengalami kejutan saraf dan kini dirawat di Hospital Bentong.
“Mangsa bersama 12 pendaki lain termasuk enam wanita itu berjaya di bawa turun ke Air Terjun Chamang kira-kira pukul 1.30 pagi tadi sebelum dihantar ke Hospital Bentong,” katanya kepada Bernama hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kumpulan pendaki ini telah memulakan pendakian bermula pukul 3 pagi semalam.
Katanya, apabila mereka sampai di Permatang Kuntum, tiba-tiba hujan lebat menyebabkan kumpulan terbabit berpatah balik ke Latar Naning.
“Kejadian itu berlaku semasa kumpulan terbabit dalam perjalanan ke Latar Naning,” katanya.
Operasi mencari dan menyelamat dilakukan oleh lebih 35 orang terdiri daripada anggota bomba, polis, Jabatan Pertahanan Awam, Unit Smart Force Majlis Daerah Bentong serta orang awam. – BERNAMA