KUALA LUMPUR – Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yakin dengan kemampuan anakandanya, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail mentadbir negeri itu.
Titah baginda, pengisytiharan Tunku Ismail sebagai Pemangku Raja Johor semalam merupakan persediaan untuk Tunku Ismail menjadi Raja.
“Saya yakin dengan kemampuan anakanda saya dalam menjalankan tugas serta mentadbir negeri, malah ini turut merupakan persediaan kepada Tunku Ismail untuk menjadi seorang Raja,” titah baginda.
Titah baginda disiarkan di laman Facebook rasmi pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT), Johor Southern Tigers hari ini.
Mynewshub.cc semalam melaporkan Sultan Ibrahim berkenan melantik anakanda baginda, Tunku Ismail sebagai Pemangku Raja Johor dan jajahan takluknya.
Istiadat pengisytiharan tersebut telah diadakan di Istana Bukit Serene pagi semalam.
Pemangku Raja diberikan kepercayaan oleh Sultan Johor untuk menjalankan tugas dan mentadbir Negeri Johor serta mempunyai semua kuasa yang diperuntukkan kepada Raja serta boleh digunakan pada bila-bila masa. – Mynewshub.cc