KUALA LUMPUR – Jika pendakwa terkemuka Islam, Dr. Zakir Naik dibenarkan berceramah di Malaysia, tokoh agama lain juga wajar dibenarkan menyampaikan ceramahnya di Malaysia.
Pengerusi Biro Pemahaman dan Pemantapan Agama (BiPPA) PKR, Dr. Muhammad Nur Manuty berkata, kehadiran tokoh agama bukan Islam di negara ini untuk merealisasikan keharmonian dan hak kebebasan beragama di Malaysia.
“BiPPA berpandangan bahawa program-program Dr. Zakir Naik wajar diteruskan supaya dialog antara agama dapat disuburkan.
“BiPPA juga mengalu-alukan program kehadiran tokoh-tokoh agama bukan Islam ke negara ini sebagai merealisasikan keharmonian dan kebebasan beragama di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan media semalam.
Muhammad berkata, keupayaan rakyat Malaysia dalam mengamalkan dialog yang terbuka, beretika dan matang adalah suatu yang wajib sebagai prasyarat Malaysia menjadi negara yang maju dan bertamadun tinggi.
Beliau dalam pada itu berkata, penghinaan terhadap agama-agama sangat dilarang oleh Islam dan ia juga bertentangan dengan Perlembagaan dan Rukun Negara.
Justeru, katanya, pihak yang tidak berpuas hati dengan kehadiran Dr. Zakir sewajarnya mengadakan sidang meja bulat bagi mendapatkan penjelasan daripada pendakwab Islam itu dan pihak penganjur.
“Pertemuan tertutup adalah penting untuk mendidik penganut agama masing-masing tentang perlunya menghormati kemajmukan agama.
“Kita yakin bahawa rakyat Malaysia menolak sebarang tindakan yang bersifat penghinaan terhadap semua agama,” katanya. – MYNEWSHUB.CC