KUALA LUMPUR – Parti Keadilan Rakyat (PKR) mempertahankan tindakan wartawan MalaysiaKini, Kow Gah Chie kerana menulis berita berbaur rasis bertajuk ‘Undi BN untuk pastikan umat Islam jadi KM Sarawak’
Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil berkata, seorang wartawan perlu diberi kebebasan untuk melaksana tugas dan tanggungjawab mereka sebagai pelapor berita.
“Gah Chie merupakan seorang wartawan yang mempunyai pengalaman hampir 20 tahun. Saya percaya beliau seorang wartawan yang akan bertanggungjawab.
“Secara prinsip saya berpendirian wartawan berhak untuk menulis laporan-laporan tersebut berasaskan apa yang mereka lihat dan alami sendiri,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Justeru, Fahmi meminta Gah Chie membuat laporan polis supaya siasatan dibuat terhadap penyebaran gambarnya di media sosial untuk membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.
“Biarlah wartawan melapor dengan bebas,” katanya.
Malaysiakini pada Sabtu lalu mengarahkan Gah Chie pulang ke Kuala Lumpur bagi menutup aib kerana wartawan itu memutarbelit kenyataan ADUN Nangka, Dr. Annuar Rapa’ee atas agenda tertentu.
Laporan berita tersebut berkemungkinan boleh membangkitkan sentimen keagamaan di negeri bumi kenyalang sementalah ia cukup sensitif disiarkan menjelang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-11 bermula pada Isnin. – mynewshub.cc