KOTA KINABALU – Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 2.0 yang disambung semula selepas ditangguhkan lebih setahun, mampu melahirkan generasi muda yang mempunyai kemahiran teknikal dan insaniah.
Menteri Belia dan Sukan Sabah, Datuk Tawfiq Abu Bakar Titingan berkata PLKN 2.0 telah melalui proses transformasi dengan memperkenalkan kemahiran teknikal selain mengekalkan objektif asal seperti meningkatkan semangat patriotik, memupuk perpaduan kaum dan semangat kesukarelawanan.
“Pelaksanaan PKLN 2.0 merupakan antara kaedah untuk membimbing golongan muda menghadapi cabaran alaf baharu, selain membentuk sahsiah diri yang positif dan menerapkan kemahiran teknikal dan insaniah yang sememangnya diperlukan bagi mencapai Wawasan 2020,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan PLKN 2.0 Kumpulan 1, Siri 13, 2016 di Kem PLKN Wawasan Papar, dekat sini Selasa.
Seramai 320 pelatih PLKN 2.0 dipilih mengikuti latihan dalam Kumpulan 1, Siri 13 di kem berkenaan yang dijalankan selama dua bulan sejak 26 Mac lepas sehingga 25 Mei ini.
PLKN 2.0 dilaksanakan secara dua fasa iaitu fasa pertama dilaksanakan selama lapan minggu dalam kem yang melibatkan lapan modul termasuk Malaysiaku, Kerohanian, ‘MyFuture’, ‘I-Upgrade’, dan ‘Service Learning’.
Fasa kedua pula dilaksanakan dengan kerjasama strategik dengan 10 kementerian untuk menyediakan tempat di 400 Institusi Latihan Kemahiran Awam (ILKA) kepada pelatih yang telah menamatkan latihan fasa 1.
Pembelajaran sewaktu fasa 2 lebih kepada kemahiran teknikal dengan jangka masa latihan selama tiga hingga 36 bulan, bergantung kepada kursus yang dipilih sama ada di peringkat sijil atau diploma yang diiktiraf.
Mengulas lanjut, Tawfiq berkata PLKN 2.0 adalah unik jika dibandingkan dengan program seumpama itu di luar negara kerana dilaksanakan secara ‘ala Malaysia’ bagi mencapai keperluan negara.
“Negara lain melaksanakan program seperti ini berteraskan ketenteraan, tetapi Malaysia adalah sebaliknya…PLKN direka supaya menjadi satu aktiviti yang berfaedah serta akan menjadi kenangan kepada pelatih.
“PLKN tidak bersifat penderaan tetapi mengajar dan menekankan proses belajar secara amali, selain mengutamakan semangat muhibah dalam semua aktiviti yang dijalankan,” katanya.
Sementara itu, Tawfiq menasihatkan golongan muda khususnya pelatih PLKN agar sentiasa berganding bahu untuk menjaga kedaulatan negara. – BERNAMA