KUALA LUMPUR – Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan terus bekerjasama erat dengan Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem bagi memastikan pembangunan di negeri itu terus berkembang maju.
Beliau berkata kemajuan yang dicapai di Sarawak selama ini merupakan hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri yang dipimpin Barisan Nasional (BN) dengan kerajaan Persekutuan serta pejabat-pejabat daerah, pemimpin dan komuniti setempat.
Sambil memuji kepimpinan Adenan yang meneraju Sarawak sejak dua tahun lepas, beliau berkata Adenan berjaya menambat hati dan menyakinkan masyarakat dengan personaliti serta pendekatannya yang mesra.
“Kepada semua khususnya rakyat di bumi Kenyalang, yang sudi panggil dan gelar saya ‘Apai Besar Malaysia’, bersama-sama ‘Apai Besar Sarawak’ (Adenan), beriring, seiya dan sekata, akan gigih membangunkan Sarawak supaya terus maju gagah di persadanya,” katanya semasa berucap melancarkan Laporan Tahunan Program Transformasi Negara (NTP) 2015 di Angkasapuri di sini, malam ini.
Najib yang juga Menteri Kewangan berkata Sarawak merupakan penerima terbesar daripada bajet penuh Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) di bawah NTP.
Mengambil contoh Lebuhraya Pan Borneo Sarawak bebas tol sepanjang 1,089 kilometer dari Teluk Melano ke Lawas, beliau berkata projek itu, yang dianggarkan bernilai RM16 bilion, telah membuka lebih banyak peluang ekonomi di kawasan yang direntanginya.
Beliau berkata inisiatif yang dilaksanakan di bawah program itu termasuk pembinaan jalan raya, penyediaan air bersih dan terawat, pembinaan rumah serta pembekalan elektrik memanfaatkan lebih 1.5 juta penduduk luar bandar Sarawak.
“Dengan bekalan elektrik 24 jam, mereka dapat menyimpan makanan di dalam peti sejuk dalam jangka yang lebih lama, seterusnya menikmati kehidupan yang lebih selesa,” katanya.
Sejak lima tahun lepas, katanya, lebih 1,000 rumah panjang dibekalkan dengan bantuan elektrik 24 jam.
Perdana Menteri berkata beliau juga mengarahkan pelaksanaan Projek Jalan Kanowit-Song-Kapit tahun lepas, setelah mendapati Kapit tidak menpunyai jaringan jalan darat ke dunia luar.
Projek bernilai RM150 juta itu akan memanfaatkan hampir 100,000 penduduk.
Najib Program Penyeragaman Harga dengan pemberian subsidi kos pengangkutan daripada pembekal kepada peniaga barangan asas turut memastikan barangan keperluan asas mampu dimiliki setiap rakyat pada harga berpatutuan di Sarawak dan Sabah.
“Sebagai contoh, harga beras 10 kilo yang dahulunya RM40 di Ba’kalalan Sarawak, dengan adanya subsidi ini, ia kini berharga RM18 sahaja,” katanya.
Menjelang Pilihan Raya Negeri ke-11 7 Mei ini, perdana menteri berharap rakyat Sarawak akan memberi sokongan kuat kepada barisan pimpinan Adenan.
“Kita doakan, semoga rakyat Sarawak akan memberi sokongan yang padu dan kejayaan besar kepada pimpinan Apai Besar Sarawak.
“Kita yakin rakyat Sarawak akan memilih kerajaan BN yang sudah lama menabur bakti dan jasa,” katanya.
Mengenai manifesto PRN BN yang dilancarkan pagi tadi, beliau menyifatkannya sebagai dokumen komprehensif yang menggariskan kesinambungan agenda pembangunan Sarawak.
Manifesto bertemakan ‘Beri Peluang Kepada TeamAdenan’ yang bertunjangkan 15 perkara utama dan 53 prinsip itu memperincikan janji-janji yang akan ditepati demi membela dan memperjuangkan nasib serta masa depan rakyat Sarawak.
“Saya melihatnya sebagai satu aku janji yang komprehensif yang merangkumi perkara-perkara utama seperti hak rakyat Sarawak, pendidikan, budaya, tanah, rumah mampu milik, keusahawanan, pembangunan luar bandar, wanita dan belia serta secara keseluruhannya peningkatan kualiti hidup,” kata beliau.
Najib berkata secara holistiknya, manifesto itu menggariskan kesinambungan kepada kejayaan sebelum ini dengan pelan pembangunan lima tahun dan kehadapan. – BERNAMA