ALOR SETAR – Ketua Jurulatih Kedah Tan Cheng Hoe menyifatkan perlawanan anak buahnya menentang Sabah pada Jumaat malam kurang memuaskan, walaupun pasukan itu berjaya melangkah ke peringkat separuh akhir Piala FA.
Beliau berkata para pemain kelihatan letih dan kurang menyengat kerana banyak kali kehilangan bola di awal babak permainan yang berlangsung di Stadium Darul Aman.
“Kita perlu fokus lagi pada 90 minit perlawanan, dalam bola sepak kita kena main sampai wisel penamat baru kita tahu keputusan itu.
“Kalau ikut prestasi malam ini memang kurang berpuas hati tapi apa-apa pun kita sudah layak ke peringkat separuh akhir,” katanya selepas perlawanan suku akhir kedua Kedah menentang Sabah di sini, Jumaat malam.
Kedah seri 1-1 menentang Sabah dalam aksi timbal balik di Stadium Darul Aman, namun mara ke separuh akhir menerusi agregat 3-2.
Penyerang import dari Brazil, Carlos Eduardo meletakkan skuad Helang Merah di hadapan pada minit ke-22 setelah menyempurnakan sepakan penalti, sebelum Sabah menyamakan kedudukan pada minit ke-59 menerusi Ummareng Bacok yang menanduk masuk bola hantaran Dedi Kusnandar.
Mengulas mengenai corak permainan Carlos, Tan berkata pemain import itu dilihat sebagai penyerang tulen yang bermain dalam pasukan, bukannya secara individu.
“Daripada serangan dan pertahanan dia banyak bantu pasukan dan secara keseluruhan dia bermain sebagai satu pasukan bukan individu, dia berusaha keras, dan beri 100 peratus komitmen,” katanya.
Tan berkata Carlos memerlukan sedikit masa untuk mengadaptasi dengan corak permainan skuad Lang Merah dan Liga Malaysia. – BERNAMA