KUCHING – Tidak sampai 24 jam calon PKR, Voon Shiak Ni melancarkan maskot badak sumbu berwarna biru muda sebagai maskot kempen, sekutunya sendiri DAP bertindak kejam menikam parti bermata satu tersebut.
Hari penamaan calon kerusi baharu Batu Kitang yang sepatutnya menyaksikan perlawanan antara calon Barisan Nasional (BN), Lo Khere Chiang menentang wakil PKR, dikhianati DAP yang mencalonkan Abdul Aziz Isa.
Anak muda Melayu itu sepatutnya bertanding di kerusi baharu Stakan, sebaliknya diubah saat-saat akhir susulan pengumuman mengejut Pengerusi DAP Sarawak, Chong Chieng Jie di ibu pejabat parti tersebut di sini semalam.
Kerusi Batu Kitang yang mempunyai seramai 17,494 orang pengundi berdaftar dengan majoritinya kaum Cina bakal menyaksikan pertembungan lima penjuru termasuk kehadiran dua orang lagi calon bebas Melayu.
Mereka berdua masing-masing ialah Sulaiman Kadir, bekas pegawai di Jabatan Tanah dan Ukur dan seorang lagi calon bebas dikenal pasti sebagai Datuk Seri Othman Bojeng, 59, yang merupakan seorang ahli perniagaan.
Pagi Ahad, Shiak Ni, berusia 46 tahun; yang juga seorang wanita peguam hak asasi manusia melancarkan maskot badak sumbu untuk kempen PKR diberi nama Adil bagi menarik perhatian pengundi dan mendapat liputan luas.
Malangnya, pada sebelah malam, Chieng Jie membuat kejutan apabila mengumumkan DAP juga berminat merebut kerusi itu yang memang mengikut pelan asal sepatutnya ditandingi wakil parti pembangkang tersebut.
Beliau mendakwa kononnya DAP mungkin terpaksa berbuat demikian sambil pada masa sama meminta PKR untuk mematuhi perjanjian tidak bertindih kerusi sebagaimana yang dipersetujui peringkat tertinggi parti.
Namun Chieng Jie mengubah pendirian itu kononnya hasil tinjauan yang dilakukan oleh pasukan peninjau PKR mendapati majoriti pengundi Cina dan Dayak lebih cenderung kepada calon DAP sendiri berbanding PKR.
Senario sama turut dilaporkan berlaku di kerusi Simanggang apabila penyandangnya calon BN, Datuk Francis Harden Holis bakal ditentang sengit oleh wakil PKR, Norina Umoi Utot dan Leon Jimat Donald dari DAP.
Turut serta dalam perlawanan empat penjuru itu ialah calon bebas, Ngu Piew Seng. Pada pilihan raya negeri 2011 lalu, Francis berjaya menang dengan majoriti 2,447 undi mengatasi Leon yang hanya mendapat 2,311 undi. – Mynewshub.cc/HAA
#PRNSARAWAK