BESUT – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) mendahului negara maju dalam melaksanakan program pendidikan masa depan apabila beberapa program yang dilaksanakan dalam membentuk generasi muda mendapat pengiktirafan dunia.
Menterinya, Datuk Seri Idris Jusoh berkata dengan melaksanakan pendidikan yang lebih fleksibel dengan cara pembelajaran yang berbeza telah meletakkan pendidikan tinggi di negara ini lebih ke hadapan.
Katanya, antara program yang telah dan akan dilaksanakan di negara ini tetapi tidak dipraktikkan di mana-mana universiti di negara lain ialah Program CGPA (Sistem Purata Nilai Gred Kumulatif) Bersepadu (iCGPA), Program 2u2i (2 Universiti + 2 Industri) dan Program Fakulti CEO yang turut menarik minat banyak universiti ternama dunia untuk mempelajarinya dari Malaysia.
“Melalui Program iCGPA kami tidak hanya mentafsir pelajar dalam bidang akademik semata-mata tetapi melengkapkannya dengan mentafsir pelajar dalam lapan domain lain membabitkan bidang pengetahuan, keusahawanan, pengurusan informasi, komunikasi, kemahiran praktikal, sahsiah pelajar, kemahiran mengatasi masalah dan kemahiran sosial,” katanya kepada pemberita di sini semalam.
Menurut Idris, apa yang dilaksanakan oleh KPT ini sesuai dengan pelan lonjakan pertama pendidikan tinggi negara bagi melahirkan pelajar yang
Katanya, iCGPA itu kini sedang dilaksanakan di lima Universiti Awam (UA) di negara ini setelah enam tahun kajian dibuat mengenainya oleh para pensyarah tempatan.
Lima universiti yang mengikuti Projek Rintis iCGPA itu ialah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Malaysia Pahang (UMP), Universiti Malaysia Terengganu (UMT) dan Universiti Malaysia Kelantan (UMK).
Selain itu, Idris juga memberitahu KPT juga memperkenalkan Program 2u2i yang menyokong pelaksanaan Pendidikan Masa Depan, membolehkan pelajar di lima UA tempatan belajar selama dua tahun di universiti dan baki dua tahun lagi di industri.
Katanya, Program 2u2i itu merupakan perkembangan baharu dalam sistem pendidikan tinggi negara yang dilaksanakan di UMK, Universiti Putra Malaysia (UPM), (UKM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan Universiti Sultan Zainal Abidin (UnisZa).
“Melalui program yang bakal bermula September ini, para pelajar yang menamatkan pendidikan akan mempunyai pengalaman luas dalam bidang industri yang bakal diceburi daripada pengalaman kerja terus yang diperoleh dari tapak,” kata Idris.
Dalam perkembangan lain, Idris turut mengulas mengenai anugerah yang diraih Pengarah Pusat Pengajaran dan Teknologi Pembelajaran, UKM Prof Datuk Dr Mohamed Amin Embi yang memenangi dua anugerah pendidikan antarabangsa berprestij untuk pembelajaran jarak jauh dan kursus dalam talian baru-baru ini.
Mohamed Amin, yang merupakan penyokong kuat dan penyumbang utama Penyelidikan Pendidikan Terbuka (OER) Malaysia dan rantau ASEAN selama lebih 15 tahun, memenangi Anugerah Pendidik Terbuka 2016, satu pencapaian penghormatan seumur hidup yang pertama bagi negara dan Asia Tenggara.
Idris berkata Mohamed Amin memenangi Anugerah Pendidik Terbuka itu dari Open Education Consortium di Eropah melalui penulisannya yang bertajuk: ‘Rethinking Teaching; Redesigning Learning’ mengenai pengajaran dan pembelajaran dalam talian untuk masa depan.
Katanya, pengiktirafan yang diberi kepada Mohamed Amin itu secara tidak langsung mengingkatkan para pelajar, supaya bersedia untuk menguasai pengajian dalam talian kerana ia pasti akan menjadi trend kepada pendidikan tinggi negara di masa depan. – BERNAMA