TAK putus-putus kontroversi dicetuskan syarikat penerbangan Rayani Air biarpun tak sampai setahun ianya beroperasi, dari isu teknikal hinggalah pengurusan sekaligus membuatkan ramai pelanggannya mengamuk.
Selepas operasi penerbangannya digantung, syarikat berkenaan berdepan pula kemarahan pelanggan yang mendakwa sukar dapatkan penjelasan tentang pemulangan duit tiket yang sudah dibeli lebih awal apabila panggilan telefon ke pejabatnya tidak berjawab.
Penumpang Marah Rayani Air Tak Dapat Dihubungi
Susulan itu, pihak Rayani Air diuar-uarkan mahu selesaikan masalah tersebut pada hari ini dengan menjemput kesemua pelanggan yang mahu menebus semula wang untuk tiket mereka datang ke ibu pejabat Rayani Air yang terletak di Seksyen 15, Shah Alam.
Mynewshub yang tiba pada awal pagi menyaksikan pelanggan mulai memenuhi kawasan pejabat sekitar jam 8.30 pagi. Bagaimanapun menjelang 10 pagi barulah kakitangan Rayani Air menampakkan wajah, itu pun pintu pejabat ditutup dahulu sebentar atas alasan mahu adakan perbincangan.
Hal ini mencetuskan perasaan tidak puas hati para pelanggan kerana mesej yang didakwa disampaikan kepada mereka hanya menyebut pagi hari ini, tanpa menyebut pukul berapa.
Selepas pejabat dibuka, para pelanggan yang menunggu lama hanya diberikan borang refund untuk dilengkapkan.
Salah seorang wakil Rayani Air didengar berkata, wang mereka akan dipulangkan dalam tempoh sehingga enam bulan.
Selepas mendengar penjelasan wang hanya akan dikembalikan dalam tempoh enam bulan, majoriti pelanggan mulai bising kerana mereka mahu wang dikembalikan secepat mungkin.
Antara mereka didengar berkata, “Yang kata korang yang miskin kita orang”, “Apahal nak tahan-tahan duit orang pulak?” dan “Datang sini jauh-jauh, suruh datang semalam, nak isi borang bodoh pulak”.
Susulan kekecohan yang berlaku, wakil Rayani Air didengar memberi pula jaminan bahawa wang akan dipulangkan kepada pelanggan dalam tempoh satu bulan selepas borang diserahkan.
Berkaitan: Staf Rayani Air Halau Wartawan, CEO Pekena Roti Canai Kat Bawah
Mynewshub cuba mendapatkan info sahih tentang tempoh sebenar pemulangan wang kepada penumpang terlibat namun wakil Rayani Air enggan memberikan kerjasama apabila mengetahui pertanyaan diajukan pihak media, malah bertindak merahsiakan nama apabila ditanya. – MYNEWSHUB.CC