ALOR SETAR – Tempoh tahanan reman pasangan suami isteri yang disyaki menyebabkan kematian seorang wanita berumur 21 tahun di Taman Gemilang, Jitra pada 30 Mac lepas, dilanjutkan lima hari lagi.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah SAC Mohd Nashir Ya berkata perintah lanjutan reman terhadap ejen insurans berumur 43 tahun dan isterinya berumur 28 tahun, yang bekerja sebagai doktor perubatan, bermula hari ini hingga Isnin depan (11 April).
Beliau berkata perintah reman berakhir hari ini dan lanjutan reman membolehkan pihaknya menjalankan siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Dalam kejadian 1.30 tengah hari pada 30 Mac lepas, Nurul Syahirah Ishak disahkan meninggal dunia kira-kira 3 petang selepas disyaki didera oleh suspek lelaki terbabit.
Mangsa tinggal bersama pasangan suami isteri terbabit bersama bayi mereka yang berusia enam bulan di Taman Gemilang, Jitra. – BERNAMA