SUSULAN kemenangan besarnya dalam Anugerah Meletop yang diadakan pada Februari lalu, nama Ayda Jebat sering kali dijadikan isu oleh ramai pihak yang seakan-akan ‘dengki’ dengan rezekinya itu.
Malah, ada yang membuat dakwaan nakal bahawa konon dia memang langsung pun tidak layak untuk memenangi mana-mana trofi dalam anugerah tahunan tersebut.
Dalam majlis itu, Ayda mengejutkan pelbagai pihak apabila turut berjaya mengalahkan nama besar industri hiburan tempatan iaitu Dato Siti Nurhaliza menerusi kategori Penyanyi Meletop.
Mengulas mengenai cakap-cakap orang yang sehingga masih lagi mempertikaikan kemenangannya, ini jawapan Ayda: “Bagi saya, saya tak layak untuk kalahkan Dato Siti. Dia (Dato Siti) jauh lebih bagus daripada saya.
“Ini 100 peratus undian daripada peminat. Jadi peminat yang tentukan sendiri. Bukannya kredibiliti seorang artis itu. Mana kelab peminat yang kuat, dia mungkin boleh menang”.
“Bukan saya menang atau kalahkan Dato Siti. Itu satu statement yang saya sendiri tak sukalah,” ujarnya yang dipetik laporannya oleh agensi Mediacorp Singapura.
Walaupun sering dicemuh, namun Ayda atau nama sebenar, Nor Suhada Jebat, 24, menafikan terdapat mana-mana pihak yang iri hati dengan kemenangan cukup bersejarahnya itu.
Sebaliknya Ayda optimis dan percaya masing-masing ada pendapat tersendiri berhubung hal itu dan yang paling penting dia berterima kasih kepada kelab peminatnya, AJ Screamer yang tidak jemu-jemu sokong kerjaya seninya.
“Saya tak rasa mereka iri hati. Kenapa nak iri hati pulak kan? Mungkin mereka ada pendapat masing-masing atau ada artis favorite masing-masing. Mungkin mereka rasa ‘aku dah undi ni tapi tak menang juga’.
“Mungkin usaha AJ Screamer lebih sikit daripada mereka, sebab itu saya boleh menang,” katanya lagi.
Enggan menoleh ke belakang, Ayda kini semakin rancak mempromosikan single keduanya, Pencuri Hati selepas single pertama, Siapa Diriku berjaya menakluk carta lagu tempatan di corong-corong radio. – MYNEWSHUB.CC