KUALA LUMPUR – Lebih 1,300 murid Sekolah Kebangsaan Dato’Hashim 1, Pengkalan Chepa hari ini menjalani program pembugaran emosi bersama 15 kaunselor dari Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan sebagai usaha memulihkan semangat murid.
Timbalan Pengarah Pendidikan Negeri Jaafar Ismail berkata tindakan segera itu diambil bagi memastikan murid-murid sekolah berkenaan berada dalam emosi stabil dan tidak mengalami trauma susulan seorang rakan mereka meninggal dunia akibat digigit haiwan berbisa, semasa waktu rehat di sekolah itu semalam.
Nuriey Nadhirah Roslan, 7, meninggal dunia akibat gigitan di betis kirinya ketika bermain di kawasan taman di hadapan kelasnya pada waktu rehat.
Murid itu disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Pengkalan Chepa.
“Saya bersama kaunselor pada pagi ini telah pergi dari kelas ke kelas untuk berkomunikasi dengan murid-murid dan didapati mereka ceria dan tiada kemurungan.
“Langkah ini perlu diambil apabila berlaku insiden yang melibatkan murid di sekolah. Kami sedaya-upaya memberi sokongan agar emosi murid tidak terganggu, mengelakkan mereka sedih atau bimbang,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.
Jaafar berkata usaha itu akan dilakukan secara berterusan mengikut keperluan berdasarkan laporan yang diterima daripada pihak sekolah.
Ibu bapa juga turut memberikan kerjasama yang baik, katanya.
Sementara itu, guru besar sekolah itu Rohani Rajab berkata sesi pembugaran emosi itu diadakan sebaik sahaja pengajaran dan pembelajaran dalam bilik darjah bermula awal pagi ini.
Beliau juga berkata pihak sekolah giat mengadakan gotong-royong sejak semalam dengan anggota Persatuan Ibu Bapa dan Guru sekolah, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Negeri Kelantan.
“Sehingga saat ini, haiwan tersebut tidak dijumpai. Pihak sekolah akan mengadakan pengawasan yang lebih tinggi bagi memastikan keselamatan murid-murid,” katanya.
Jenazah Nuriey Nadhirah selamat dikebumikan di tanah perkuburan Islam Che Latiff, Jalan Kuala Besar, Pantai Cahaya Bulan pukul 9.45 pagi tadi. – BERNAMA