MANJUNG – Yayasan Sime Darby (YSD) memperuntukkan dana RM14.85 juta untuk membendung kepupusan spesies badak sumbu Sumatera sejak 2009 hingga kini.
Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Sime Darby Berhad Tan Sri Mohd Bakke Salleh berkata dana ini adalah untuk santuari badak sumbu Sumatera yang berada di Hutan Simpan Tabin di Lahad Datu, Sabah.
Menurut beliau pelbagai usaha dilakukan untuk membiakkan badak sumbu ini dengan menggunakan kepakaran dari dalam dan luar negara, namun pada tahun lepas, kerajaan negeri Sabah mengisytiharkan badak sumbu Sumatera telah pupus dari hutan Malaysia.
“Walaupun spesies badak sumbu Sumatera di alam liar diisytiharkan pupus, Yayasan Sime Darby masih komited dalam memelihara haiwan lain yang diancam kepupusan antaranya gajah Asia,” katanya ketika berucap pada majlis penutup MSAM 2016 Sime Darby Walk di sini.
Majlis itu diadakan bersempena praminggu Saham Amanah Malaysia (MSAM) ke-17 di Stadium Mini Tapah yang akan bermula pada Rabu hingga 28 April. Turut hadir Presiden dan Ketua Eksekutif Kumpulan Permodalan Nasional Bhd (PNB) Tan Sri Hamad Kama Piah Che Othman.
Terdahulu pada sebelah pagi, Menteri Besar Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir melepaskan larian beramai-ramai yang disertai 10,000 peserta sejauh 5.5km.
Mengulas lanjut Mohd Bakke berkata Yayasan Sime Darby bekerjasama dengan University of Nottingham, melalui penyelidikan berskala besar pertama di negara ini untuk menilai keberkesanan polisi pengurusan gajah Asia di Malaysia.
“Selain itu kami membangunkan strategi jangka panjang berdasarkan maklumat saintifik mengenai ekologi dan tabiat gajah Asia.
“Kajian ini juga akan membangunkan generasi baru pengkaji dan pengurus alam sekitar di bidang akademik, serta membina kapasiti Jabatan Perhilitan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohd Bakke turut berkata di Perak, pihaknya memberi komitmen menyokong projek pelihara burung terancam, enggang yang dipelopori Malaysia Nature Society (MNS).
Katanya sejak 2014, YSD menyumbang RM1.2 juta untuk Projek Hornbill-MNS yang dijalankan di Kompleks Hutan Belum-Temengor.
“Yayasan Sime Darby juga bekerjasama dengan Pulau Banding Foundation dan telah melancarkan Belum Discovery Centre (BDC) pada tahun lepas.
“Pusat maklumat pertama seumpamanya di Kompleks Hutan Belum-Temengor itu adalah untuk memberi kesedaran dan pengetahuan kepada para pelawat mengenai kekayaan bio-diversiti di dalam hutan yang luas itu,” katanya.
Pemuliharaan alam sekitar hanyalah salah satu daripada lima teras utama Yayasan Sime Darby. Empat teras yang lain adalah pendidikan, komuniti dan kesihatan, belia dan sukan serta seni dan budaya.
Untuk program MSAM 2016 di Tapah, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijangka merasmikan program tersebut pada Rabu manakala Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi akan merasmikan penutup program yang berlangsung selama 9 hari itu. – BERNAMA