SINGAPURA – Pemerintah Singapura dijangka mengenakan tindakan penguatkuasaan lebih berat ke atas penunggang basikal dan pengguna Personal Mobile Device (Alat Pergerakan Peribadi) yang semakin ‘merempit’.
Tindakan keras tersebut termasuk pelaksanaan hukuman yang lebih berat, menurut Menteri Negara Kanan Pengangkutan Singapura, Josephine Teo ketika berucap dalam persidangan di Parlimen di sini pada 12 April.
Menurutnya, Penguasa Pengangkutan Darat (LTA) akan menubuhkan sebuah pasukan penguat kuasa yang akan menyertai Polis Trafik Singapura bagi operasi secara bersama di tempat-tempat yang menimbulkan keprihatinan.
Ini seperti laluan pejalan kaki yang turut dikongsi penggunaannya dengan ramai penunggang basikal dan pengguna PMD di sejumlah perhentian bas awam dikenal pasti sebagai sibuk penuh sesak pada waktu tertentu.
Lembaga Taman Negara Singapura (NParks) juga akan melaksanakan penguatkuasaan penggunaan basikal dan PMD di taman serta laluan penghubung taman susulan banyak kes kemalangan dilaporkan di kawasan tersebut.
Sebagai permulaan, tindakan penguatkuasaan bakal ditumpu kepada tempat awam sedemikian, dan menggunakan alat pemantau perangkap had laju untuk mengenal pasti tahap kelajuan yang boleh membahayakan pejalan kaki.
Teo menambah ia bukanlah sesuatu yang praktikal untuk mengerahkan pegawai penguat kuasa ke semua lokasi, atau bersikap terlalu tegas terhadap mereka yang melebihi had kelajuan ditetapkan iaitu 20 kilometer sejam.
Pemerintah republik itu juga akan bekerja rapat dengan persatuan akar umbi untuk menubuhkan Rondaan Mobiliti Aktif berdasarkan program warden berbasikal yang dilaksanakan dengan penuh jayanya di Tampines.
Ia bermatlamat untuk menggalakkan amalan menunggang basikal atau PMD dengan cara lebih selamat dan memupuk budaya saling berkongsi laluan secara harmoni serta toleransi dengan pejalan kaki yang lain.
Semasa Parlimen membahaskan peruntukan bagi kementeriannya, Teo turut mengumumkan kempen Mobiliti Aktif serata Singapura yang dilancarkan bulan ini bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran orang ramai.
Ini termasuk pemahaman rakyat tentang dasar-dasar yang disarankan oleh pihak pemerintah, peraturan dan kod tatalaku, khususnya di laluan pejalan kaki, laluan yang dikongsi bersama-sama dan laluan khas berbasikal.
Kempen Mobiliti Aktif itu akan disokong oleh pendidikan yang lebih mendalam tentang cara-cara berbasikal dengan selamat menerusi Program Pendidikan Berbasikal versi baharu bagi menggantikan kaedah lama.
Program akan dilancarkan pada Mei diperkenalkan secara bertahap-tahap di sekolah, pusat masyarakat dan asrama pekerja asing bagi mengajar peserta bagaimana berbasikal dengan selamat dan secara bertimbang rasa.
Ini susulan tinjauan pemerintah Singapura mendapati masih ramai lagi pengguna kenderaan tersebut tidak mahir menggunakan prasarana berbasikal dengan cara betul dan mengamalkan apa yang dipelajari ketika di sekolah.
Anggota-anggota Parlimen juga menyuarakan keprihatinan mengenai pelbagai saranan Panel Penasihat Mobiliti Aktif, yang mencadangkan agar e-basikal dibenarkan di laluan berbasikal dan laluan dikongsi pengguna lain.
Namun ia mesti pada had kelajuan yang ditetapkan iaitu kurang 20 kilometer sejam. Dalam responsnya terhadap komen-komen itu, Teo berkata pemerintah akan menerima saranan-saranan yang diajukan oleh panel itu.
Ini termasuk memastikan agar e-basikal didaftarkan bagi membolehkan penguatkuasaan oleh LTA yang lebih berkesan dan menambah: “Sesetengah pengguna yang tidak bertanggungjawab mengubah suai e-basikal mereka.
“Ini membolehkan PMD atau basikal elektrik itu dapat mencapai kelajuan sehingga 40 dan ada yang sampai 70 kilometer sejam di jalan raya, menjadikan alat pergerakan peribadi itu hampir sama dengan motosikal biasa.
“Ia boleh mengancam keselamatan pejalan kaki dan mungkin juga diri nyawa mereka sendiri jika berlaku kemalangan.” Butiran lanjut ujar Teo boleh dijangkakan pada hujung tahun ini. – Agensi/Mynewshub.cc/HAA